TINTA MINDA

KESEDERHANAAN AIDILFITRI MELALUI LENSA MALAYSIA MADANI

19/03/2026 10:09 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Kazzman Kamaruzzaman

Setelah sebulan umat Islam menguji ketahanan fizikal, mental dan spiritual di madrasah Ramadan, tibalah masanya Syawal diraikan tanda kemenangan melawan hawa nafsu.

Ia bukan sekadar perayaan, tetapi juga simbol kesyukuran, keinsafan dan penyucian jiwa.

Saban tahun, fasa transisi daripada bulan tarbiah Ramadan ke Syawal sering kali dicemari oleh fenomena “kejutan budaya” materialisme.

Walaupun Aidilfitri merupakan manifestasi kemenangan spiritual, kecenderungan masyarakat untuk menterjemahkannya melalui konsumerisme melampau memerlukan satu penilaian semula melalui transformasi fikrah dan falsafah kehidupan.

Dalam konteks negara kita hari ini, sambutan Aidilfitri yang sederhana amat bertepatan dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan keseimbangan dalam kehidupan bermasyarakat.

Teras Malaysia MADANI yang menekankan nilai Ihsan, Hormat, dan Kesejahteraan mengajak kita untuk kembali kepada asas sambutan yang bermakna – iaitu kesederhanaan yang membawa keberkatan.

Menghayati Nilai Ihsan: Utamakan yang Memerlukan

Kesederhanaan dalam menyambut Aidilfitri sebenarnya selari dengan ajaran Islam yang menolak pembaziran dan sikap berlebih-lebihan, sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Furqan ayat 67: “Dan mereka apabila membelanjakan hartanya, tidaklah melampaui batas dan tidak pula kedekut, sebaliknya berada di antara keduanya (bersederhana).”

Sambutan yang sederhana tidak bermaksud mengurangkan kegembiraan dan kemeriahan, sebaliknya memberi ruang untuk kita lebih menghargai nilai sebenar hari raya seperti mengeratkan silaturahim, memohon kemaafan dan berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Dalam semangat Malaysia MADANI, masyarakat digalakkan mengamalkan nilai tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap orang lain.

Justeru, sambutan Aidilfitri boleh diraikan dengan cara yang lebih bermakna seperti menziarahi jiran tetangga, membantu golongan kurang berkemampuan serta menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutama sekali bagi golongan asnaf (penerima zakat).

Amalan seperti ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dalam masyarakat, malah menyemai nilai empati dan kebersamaan.

Baru-baru ini kerajaan mengarahkan semua agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat susulan kesan ekonomi daripada konflik peperangan yang berlaku di timur tengah.

Langkah ini merupakan satu langkah strategik yang baik dan amat dialu-alukan.

Tambahan pula kes Tuberkulosis (Tibi/TB) di Malaysia menunjukkan peningkatan membimbangkan. Majoriti kes melibatkan warganegara, dengan Sabah dan Selangor mencatatkan kes tertinggi.

Justeru, amatlah wajar pihak kerajaan dan agensi-agensi berkaitan menggantung penganjuran rumah terbuka Aidilfitri bagi tahun 2026 demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Kesejahteraan Melalui Kelestarian

Konsep MADANI juga menyentuh soal kesejahteraan jangka masa panjang.

Persiapan hari raya seperti pakaian baharu, hiasan rumah dan juadah boleh dilakukan secara berpada-pada tanpa perlu berhutang atau berbelanja secara berlebihan.

Budaya “biar papa asalkan bergaya” harus dikikis dari falsafah hidup masyarakat.

Membuat persiapan hari raya secara berlebihan hanya akan menambah beban hutang yang tidak perlu selepas raya.

Apa yang lebih penting ialah kebersamaan keluarga dan keharmonian suasana sambutan itu sendiri. Pembaziran makanan juga adalah isu kritikal setiap kali musim perayaan.

Menurut data daripada Perbadanan Pengurusan Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), trend peningkatan pembuangan sisa makanan di negara ini meningkat antara 15 hingga 20 peratus atau sekurang-kurangnya 10,000 tan makanan terutama sekali pada musim perayaan.

Amat membimbangkan apabila pembaziran makanan yang berlaku pada masa kini bukan sahaja melibatkan isu pembaziran perbelanjaan harian individu dan isi rumah, malah turut memberi kesan kepada ekonomi negara.

Hal ini kerana makanan yang dibuang perlu diproses dan dilupuskan, yang secara tidak langsung melibatkan kos tertentu.

Sekiranya situasi ini tidak ditangani dengan baik, ia berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap kelestarian alam sekitar.

Kegagalan mengurus pembaziran makanan dengan berkesan boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar serta menyumbang kepada peningkatan pemanasan global.

Al-Quran secara eksplisit mengingatkan dalam Surah al-Rum ayat 41: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian), kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan atas perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Peningkatan pembaziran sisa makanan boleh ditangani melalui pelaksanaan amalan berkongsi dan menderma makanan di samping sebagai inisiatif untuk sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan dan mengeratkan hubungan satu sama lain.

Merancang penyediaan juadah secara sederhana, kita bukan sahaja menjimatkan kos, malah memanifestasikan tanggungjawab kita sebagai khalifah dalam menjaga kelestarian alam.

Memperkukuh Perpaduan

Amalan rumah terbuka yang sering menjadi tradisi masyarakat di Malaysia juga boleh dianjurkan secara sederhana tetapi penuh makna.

Fokusnya bukan kepada kemewahan hidangan atau hiasan, tetapi kepada peluang untuk memperkukuh perpaduan dan memupuk semangat muhibah antara pelbagai kaum dan agama.

Nilai seorang insan tidak terletak pada harga persalinan yang dipakainya pada pagi raya, tetapi pada akhlak dan kesudiannya untuk memaafkan serta menghubungkan silaturahim.

Dalam semangat Malaysia MADANI, rumah terbuka seharusnya menjadi medan untuk kita memupuk rasa hormat antara kaum dan agama.

Ia menjadi jambatan perpaduan yang tulen, iaitu interaksi sesama manusia diutamakan berbanding pertunjukan kemewahan material.

Kesederhanaan dalam menyambut Aidilfitri membolehkan kita fokus kepada perkara yang benar-benar penting iaitu memohon maaf, mengeratkan silaturahim, dan memperkukuh perpaduan nasional.

Perpaduan ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab agama tetapi juga menjadi asas kepada pembangunan negara yang lebih harmoni, maju dan berdaya saing, terutama dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Secara tuntasnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang sederhana bukan sahaja menepati ajaran Islam, malah seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

Kita meraikan kemenangan melawan nafsu dengan penuh rasa syukur, namun tetap berpijak di bumi yang nyata.

Apabila kita memilih untuk bersederhana, kita sebenarnya sedang memberi ruang kepada nilai-nilai murni untuk berkembang dalam hati sanubari kita.

Ia adalah keberanian untuk kembali kepada fitrah yang suci, di mana kualiti diangkat melebihi kuantiti, dan keberkatan dicari melalui perkongsian, bukan pembaziran.

Kesederhanaan bukanlah tanda kemiskinan atau kebakhilan, sebaliknya ia adalah lambang kekayaan jiwa dan kematangan intelektual sesebuah bangsa.

Syawal yang Madani adalah Syawal yang meninggalkan impak positif kepada jiwa, masyarakat dan negara.

-- BERNAMA

Kazzman Kamaruzzaman ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Ilmu Wahyu, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)