Oleh Dr Nur Saadah Khair
Peribahasa Melayu menyebut, “air yang dicencang tidak akan putus”, menggambarkan betapa utuhnya hubungan persaudaraan walau terdapat perbezaan dari pelbagai sudut kehidupan.
Dalam konteks masa kini, hubungan persaudaran teruji dengan wujudnya jurang generasi seperti Gen Boomers, Gen X, Gen Y, Gen Z dan Gen Alpha.
Namun, perbezaan ini seharusnya bukan menjadi pemisah, sebaliknya peluang untuk saling memahami dan menghormati.
Jurang perbezaan semakin meluas apabila sebahagian budaya seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, dan berkumpul bersama keluarga besar semakin terhakis.
Aidilfitri yang disambut pada dua puluh tahun lalu jauh berbeza dengan sambutan pada tahun ini akibat pelbagai faktor seperti kesibukan kerja, gaya hidup moden, dan kebergantungan kepada teknologi.
Jika tidak dipelihara, warisan ini berisiko hilang ditelan zaman.
Malah, setiap generasi memandang serong akan generasi yang lain dan akhirnya menyebabkan jurang yang lebih jauh sehingga sukar untuk disatukan kembali.
Sebagai ibu bapa, peranan memperkenalkan anak-anak kepada saudara dekat dan jauh tidak boleh dipandang ringan.
Dalam dunia yang semakin pesat dengan teknologi moden, hubungan kekeluargaan tidak seharusnya terhad kepada skrin semata-mata.
Ziarah secara fizikal membawa makna yang lebih mendalam kerana pengalaman pulang ke kampung mencipta kenangan manis dan mengeratkan hubungan kerana lama tidak berjumpa.
Perjalanan yang mungkin mengambil masa yang lebih lama kerana kesesakan jalan raya boleh digunakan sebagai pengalaman berharga apabila anak-anak membesar suatu hari nanti.
Amalan ziarah tidak seharusnya diabaikan hanya kerana kekangan kewangan kerana kekurangan harta bukan alasan untuk tidak berkunjung ke rumah sanak saudara dan menyambung silaturahim.
Hal ini selari dengan sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa menjaga hubungan persaudaraan bukan sahaja tuntutan agama, malah membawa keberkatan dalam kehidupan.
Oleh itu, menjadikan alasan “tidak cukup duit” untuk tidak berziarah adalah bertentangan dengan semangat hadis tersebut, kerana dengan menyambung hubungan itulah menyebabkan rezeki diluaskan, bukan sebaliknya.
Ziarah tidak menuntut kemewahan, memadai dengan keikhlasan, adab, dan kasih-sayang yang tulus.
Keluarga adalah Anugerah
Bulan Syawal hadir sebagai ruang terbaik untuk mengukuhkan kembali hubungan persaudaraan.
Tradisi ziarah-menziarahi bukan sekadar adat, tetapi satu bentuk pendidikan sosial yang sangat penting, khususnya kepada generasi muda.
Melalui kunjungan ke rumah saudara-mara, anak-anak diperkenalkan kepada susur galur keluarga.
Peluang ini perlu digunakan sebaiknya agar mereka dapat mengenal nama, wajah, serta hubungan kekeluargaan lebih-lebih lagi apabila kesempatan untuk bertemu kadangkala hanya hadir setahun sekali sahaja.
Anak-anak juga berpeluang mempelajari adab bertamu dan adab terhadap tuan rumah, seperti memilih waktu yang sesuai untuk berkunjung, menjaga tempoh ziarah agar tidak berlebihan, menikmati hidangan makanan secara sederhana tanpa meminta-minta, serta menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas layanan yang diberikan.
Justeru, usaha menyambung kembali silaturahim perlu bermula dari rumah. Ibu bapa harus menjadi contoh dengan menekankan bahawa keluarga adalah anugerah yang tidak ternilai.
Anugerah ini perlu dipelihara dengan menghormati antara satu sama lain tanpa mengira usia atau generasi.
Aidilfitri kali ini harus dijadikan peluang untuk setiap generasi membuka ‘pintu’ sama ada kepada yang tua mahupun yang muda agar hubungan yang terjalin bukanlah sekadar terbatas pada Hari Raya, bahkan dapat diteruskan pada bila-bila masa.
Tambahan pula, kecenderungan melabel generasi seperti Boomers, Gen X, Gen Y, Gen Z dan Gen Alpha sering kali mewujudkan stereotaip yang tidak adil.
Pandangan bahawa “yang tua dianggap kolot”, manakala “yang muda dilihat terlalu bebas atau kurang beradab” perlu dihapuskan.
Hakikatnya, setiap generasi dibentuk oleh zaman dan cabaran yang berbeza, justeru pendekatan yang lebih wajar ialah saling memahami, bukan menghukum.
Aidilfitri merupakan ruang terbaik untuk merapatkan jurang tersebut melalui pertemuan dalam amalan ziarah.
Dalam suasana ini, adakalanya penghapusan label generasi adalah lebih wajar agar hubungan dapat dibina atas dasar saling memahami, menghormati dan menerima, bukan melalui stereotaip yang memisahkan.
-- BERNAMA
Dr Nur Saadah Khair ialah Pensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia.