AM

MB KEDAH BERADA DI LUAR NEGARA UNTUK URUSAN RASMI - PEJABAT MB KEDAH

20/09/2024 08:41 AM

ALOR SETAR, 20 Sept (Bernama) -- Pejabat Menteri Besar Kedah mengesahkan bahawa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini berada di Kumamoto, Jepun, atas urusan rasmi.

Penjelasan ini dibuat susulan dakwaan di media sosial yang menuduh beliau bercuti bersama isteri ketika beberapa daerah di Kedah dilanda banjir dan ribut.

Bagaimanapun, Pejabat Menteri Besar menegaskan bahawa lawatan Muhammad Sanusi bukan untuk bercuti, tetapi bagi mempelajari pengurusan operasi empangan bawah tanah di wilayah tersebut.

“Ini kerana satu projek alternatif akan dilaksanakan di Langkawi untuk mendapatkan bekalan air dari sumber bawah tanah, bagi memenuhi keperluan pengguna di Pulau Permata Kedah sehingga 2040.

“Projek pembinaan empangan air bawah tanah di Langkawi, yang dijangka siap pada 2028, merupakan yang pertama di Asia Tenggara,” menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Kedah hari ini.

Menurut kenyataan sama, beberapa staf pengurusan dan teknikal Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) turut menyertai lawatan sambil belajar yang telah diatur sejak mesyuarat LSANK pada 1 April 2024.

Delegasi Kerajaan Kedah berangkat ke Jepun pada 17 Sept, sebelum banjir teruk melanda negeri itu.

Menurut kenyataan itu, ketiadaan Menteri Besar Kedah di tanah air tidak akan menjejaskan operasi bantuan, kerana agensi kawalan, bantuan, dan keselamatan di bawah Kerajaan Negeri serta Persekutuan diyakini mampu menangani situasi dengan efisien.

“Walaupun berada di luar negara, Menteri Besar sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa bagi memastikan beban bencana yang ditanggung mangsa banjir di Kedah ditangani dengan cepat dan berkesan,” katanya.

Setakat 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kedah meningkat kepada 6,087 orang daripada 1,942 keluarga, berbanding 4,426 orang daripada 1,306 keluarga pada 8 malam tadi.

Mangsa dari tujuh daerah terjejas ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS), dengan daerah Kota Setar paling teruk terjejas, melibatkan 2,424 mangsa, diikuti Kubang Pasu (1,537 mangsa) dan Pokok Sena (925 mangsa).

Semalam, Menteri Besar Kedah mengumumkan pemberian bantuan awal sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang berpindah ke PPS.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan