SUKAN

KONTINJEN PAHANG SASAR 10 PINGAT EMAS DI PARA SUKMA 2024

20/09/2024 12:09 PM

RAUB, 20 Sept (Bernama) -- Kontinjen Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 Pahang menyasarkan untuk mengutip 10 pingat emas pada temasya yang bakal berlangsung di Sarawak bermula Ahad ini sehingga 28 Sept. 

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata sasaran itu amat penting kerana Pahang belum pernah mencatat keputusan berkenaan sepanjang menyertai kejohanan ini.

"Kita perlu memecahkan rekod pungutan pingat emas yang sebelum ini hanya sembilan, jika berjaya mengutip 10 pingat emas dan ke atas ia merupakan pencapaian terbaik buat kontinjen Para SUKMA Pahang.

"Kita akui berhadapan pelbagai halangan seperti kekurangan dari segi kemudahan sukan bagi atlet Orang Kurang Upaya (OKU) berbanding negeri lain tetapi ia bukan satu alasan untuk mencapainya pada temasya kali," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA XXI di Kompleks Rakan Muda Raub di sini malam tadi.

Pada temasya Para SUKMA ke-21 ini, Pahang menghantar 104 orang wakil termasuk 56 atlet bagi membawa cabaran dalam sembilan acara sukan dipertandingkan iaitu badminton, memanah, renang, catur, olahraga, tenpin boling, boccia, angkat berat, boling padang. 

Fadzli berkata pihak kerajaan Pahang juga bersedia mempertimbangkan untuk menaikkan jumlah ganjaran pemenang emas atlet Para SUKMA Pahang agar setaraf dengan atlet Sukma Pahang baru-baru ini dalam usaha membakar semangat mereka menampilkan aksi cemerlang pada temsya itu.

Sementara itu, ketua kontinjen Para SUKMA Pahang Khaizulnizam Mohd Zuldin mengakui sasaran 10 pingat emas adalah realistik dan beliau sanggup menyahut cabaran dilontarkan oleh kerajaan Pahang untuk memecahkan rekod sembilan emas yang dikutip pada kejohanan sama sebelum ini.

"Kalau boleh kita hendak menang dalam semua acara disertai tetapi kita perlu melihatnya secara realistik, walaupun kita menghadapi pelbagai kekurangan sebelum ini tetapi kita masih mampu melahirkan atlet kebangsaan dalam sukan lawn balls dan memanah.

"Apapun kita semestinya mencuba yang terbaik dan saya sebagai ketua kontinjen akan menjaga segala kebajikan atlet sepanjang acara Para SUKMA berlangsung," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan