EKONOMI

TEALIVE SASAR PERLUAS RANGKAIAN KE INDONESIA TAHUN DEPAN

20/09/2024 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Loob Holding Sdn Bhd, pemilik jenama teh gaya hidup Tealive, merancang untuk mengukuhkan portfolio luar negaranya dengan menyasarkan untuk menembusi pasaran Indonesia tahun depan.

Tealive kini mempunyai rangkaian di Filipina, Vietnam, Myanmar, Australia, Kemboja, Brunei, Mauritius dan Kanada.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bryan Loo bagaimanapun berkata rancangan pengembangan ke Indonesia itu hanya akan direalisasikan apabila rangkaian di Filipina mencecah 100, yang kini mempunyai 75 kedai.

“Matlamat kami untuk pengembangan serantau di Asia Tenggara ialah apabila berjaya membuka 100 kedai dalam setiap pasaran, kami akan mula meneroka pasaran baharu.

“Kami berharap dapat mencapai pembukaan 100 kedai di Filipina dan beralih ke Indonesia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan cawangan berkonsepkan warisan sejarah pertamanya di Medan Pasar di sini hari ini.

Loo berkata syarikatnya sentiasa bermula dengan membuka 10 buah kedai di kawasan bandar dan berkembang secara berperingkat ke bandar-bandar yang lebih kecil selepas itu.

“Itulah cara kami mewujudkan identiti jenama kami," katanya.

Sempena pelancaran kedai berkonsepkan gaya warisan itu, Tealive turut memperkenalkan minuman baharu berasaskan kelapa, termasuk Coconut Smoothie dan Coconut Velvet Latte.

Siri minuman Bang Bangnya pula berjaya melepasi 50 juta cawan setakat ini, katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat itu ditubuhkan pada 2017 dan mempunyai lebih 1,000 cawangan Tealive di seluruh dunia, melayani lima juta pelanggan sebulan di Malaysia dan pasaran luar negara.

--  BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan