SUKAN

SKUAD BADMINTON REMAJA NEGARA FOKUS MANTAPKAN MENTAL PEMAIN

20/09/2024 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Skuad badminton remaja negara sedang menjalani kem latihan pusat akhir di Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Remaja Dunia di Nanchang, China dari 30 Sept hingga 13 Okt ini. 

Ketua Jurulatih Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Jeffer Rosobin berkata kem latihan pusat akhir yang berlangsung sehingga Sabtu ini bertujuan membina semangat kental pemain-pemain negara.

“Fokus kita untuk kem latihan ini adalah kebersamaan dan semangat berpasukan antara pemain yang akan beraksi di kejohanan dunia nanti.

“Kem ini juga penting untuk kita mantapkan lagi mental pemain untuk menghadapi situasi sistem baharu (acara berpasukan),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Jeffer berkata beliau dan barisan kejurulatihan akan mengadakan perlawanan simulasi bersama pasukan senior sebagai persiapan menghadapi kejohanan dunia berkenaan.

“Kita akan adakan perlawanan simulasi pada 25 Sept sebelum berlepas ke China pada 27 Sept.

“Cadangannya sama dengan Remaja Asia, kita akan buat perlawanan simulasi bersama pemain senior,” katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia di Kejohanan Badminton Remaja Dunia adalah pada 2011 dengan meraih tiga pingat emas dalam acara berpasukan campuran, perseorangan lelaki dan beregu lelaki.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat adalah pada 2018 menerusi Goh Jin Wei yang memenangi emas dalam acara perseorangan wanita.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan