EKONOMI

KHAIRUL KAMARUDIN MENANGI CEO TERBAIK DI GIFA 2024

20/09/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) Khairul Kamarudin memenangi anugerah berprestij CEO Terbaik di Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2024.

Menurut Bank Muamalat dalam kenyataan hari ini, pengiktirafan itu menjadi bukti kepada kepimpinan cemerlang beliau dalam memacu bank tersebut sebagai pemain utama dalam sektor kewangan Islam.

Anugerah itu disampaikan pada Majlis Anugerah GIFA ke-14 di Maldives, yang turut menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Kewangan Islam Global (GIFS).

Katanya GIFA berperanan sebagai piawaian kecemerlangan tertinggi dalam kewangan Islam, mengiktiraf individu dan institusi yang memacu inovasi dan kemajuan dalam industri tersebut.

“Alhamdulillah, ia adalah satu penghormatan untuk menerima pengiktirafan ini daripada jawatankuasa GIFA. Saya amat berbangga dengan kemajuan dan momentum yang telah kami bina selama ini.

“Bank Muamalat telah menjadi sebuah bank Islam yang lebih kukuh dan berdaya tahan, menjadi rakan kepada pelanggan kami dalam setiap aspek,” kata Khairul.

Pemilihan Khairul dibuat selepas melalui proses yang ketat dan beliau dilihat lebih menonjol dalam kalangan pemimpin industri global terkemuka atas pendekatan visi, kepimpinan strategik dan komitmennya yang berterusan terhadap prinsip kewangan Islam.

Pengiktirafan beliau di Anugerah GIFA mencerminkan komitmen bank itu yang berterusan terhadap inovasi, perkhidmatan pelanggan dan pembangunan penyelesaian kewangan patuh Syariah.

Bank Muamalat meneruskan perjalanan kecemerlangannya di bawah kepimpinan Khairul, mengukuhkan lagi peranannya dalam landskap perbankan Islam.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan