EKONOMI

KEUNTUNGAN BERSIH GLOMAC MELONJAK KEPADA RM7.28 JUTA

20/09/2024 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Keuntungan bersih Glomac Bhd untuk suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 melonjak kepada RM7.28 juta berbanding RM4.06 juta yang disaksikan pada suku yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan meningkat kepada RM73.3 juta daripada RM60.1 juta selepas didorong oleh sumbangan margin projek yang lebih tinggi pada suku dalam tinjauan, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pemaju hartanah itu melalui satu kenyataan berkata kumpulan itu akan memacu jualan hartanah dengan pelbagai jenis produk kediaman dan komersial untuk tahun kewangan semasa.

"Antara yang dilancarkan pada tahun kewangan 2025 adalah fasa baharu kediaman dua tingkat dalam pembangunan perbandaran Glomac seperti Serai@ SBCR, Saujana KLIA dan Saujana Jaya di Kulai Johor, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM459 juta.

"Kumpulan itu juga telah melancarkan fasa pertama Serai@SBCR pada Ogos 2024, dengan GDV sebanyak RM66 juta, merangkumi 112 unit rumah teres dua tingkat. Projek itu menerima permintaan yang kukuh," katanya.

Berdasarkan makluman, Glomac menguasai portfolio bank tanah yang mantap, terletak di lokasi strategik dengan GDV kira-kira RM7 bilion, menjajarkan kumpulan itu untuk pembangunan masa depan yang mampan.

"Disokong oleh kunci kira-kira yang teguh, Glomac berada pada kedudukan yang baik bagi memacu aktiviti pembangunan dan mengejar peluang untuk pengembangan bank tanah," katanya.

Glomac telah mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham biasa pada tahun kewangan 2024, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunan akan datang yang dijadualkan menjelang 23 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan