AM

DVS JALIN KERJASAMA DENGAN PBT, NGO KAJI KEBERKESANAN KAEDAH KAWAL POPULASI ANJING TERBIAR

20/09/2024 05:50 PM

SERDANG, 20 Sept (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sedang mengkaji keberkesanan kaedah ‘Trap-Neuter-Release-Manage’ (TNRM) atau 'tangkap-mandulkan-lepas-urus' dalam mengawal populasi anjing terbiar di Malaysia.

Ketua Pengarah DVS Dr Akma Ngah Hamid berkata kajian itu sedang dijalankan di Pulau Pinang dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dijangka siap dalam masa setahun.

Beliau berkata kajian berkenaan dilaksanakan bagi menentukan implikasi kaedah TNRM terhadap kebajikan haiwan terbiar dan mekanisme terbaik untuk menjamin penjagaan haiwan tersebut selepas ia dimandulkan, selain penerimaan masyarakat berhubung kaedah itu.

“Kita harapkan bila kita buat TNRM, ada yang mengambil haiwan itu sebagai haiwan peliharaan. Mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015, kami tidak menggalakkan Trap-Neuter-Release semata-mata kerana kita tidak mahu haiwan itu berkeliaran. 

“Memang kita boleh kawal populasi, tetapi bagaimana (hendak menjamin) kebajikan haiwan terbiar selepas ia dilepaskan itu yang perlu kita kenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) Antara DVS Bersama Agensi Luar di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini, hari ini.

Dr Akma berkata pihaknya bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai dalam melaksanakan kajian itu.

NGO yang terlibat pula ialah Independent Aid for Protection and Welfare of Animals, Persatuan Kebajikan Haiwan Terbiar Pulau Pinang dan Persatuan Kebajikan Haiwan Liar Butterworth Pulau Pinang.

Sementara itu, Dr Akma berkata DVS pada hari ini turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaya untuk melaksanakan program penyelidikan dalam bidang pembiakan ternakan yang terancang bagi mengeksploitasi bahan genetik dan meningkatkan kualiti ternakan berpotensi komersial.

Beliau berkata pihaknya juga telah menandatangani MoU dengan Universiti Putra Malaysia bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang latihan, penyelidikan dan pembangunan bidang sains veterinar dan penternakan haiwan.

"Kolaborasi ini diharap boleh menjadi satu ikhtiar ke arah mengatasi masalah yang sedang dihadapi dalam industri penternakan, terutamanya dalam meningkatkan kadar sara diri daging lembu dan kerbau, seterusnya menjamin bekalan makanan dalam negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan