AM

"NIGHTS OF FRIGHT" KEMBALI MENGHANTUI PEMINAT KISAH SERAM

20/09/2024 08:37 PM

PETALING JAYA, 20 Sept (Bernama) -- Memasuki tahun ke-10, acara hiburan ikonik Nights of Fright (NOF) kembali dengan pengalaman yang lebih menakutkan, lebih hebat dan lebih menarik berbanding sebelum ini.

Penolong Pengurus Besar Pemasaran dan Pengalaman Taman Tema Sunway Michelle Soong berkata edisi tahun ini menampilkan "Bone Man" dari China yang akan membawa pengunjung ke laluan menyeramkan, selain cerita seram termasuk kisah "Lebuh Raya Karak" yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. 

"Banyak elemen dan tarikan diilhamkan dari Timur kerana rakyat Malaysia sangat mengenali cerita dan filem seram bertemakan Asia.

"Misalnya, jika anda mengunjungi NOF tahun ini, anda akan berjumpa dengan kisah yang diinspirasikan oleh Lebuh Raya Karak, yang akan menjadi antara tarikan di sini," katanya kepada Bernama selepas pelancaran NOF 10 di Sunway Lagoon di sini semalam.

Acara bertemakan Halloween itu bermula hari ini hingga 31 Okt di Sunway Lagoon, menjanjikan pengalaman menyeramkan yang tidak dapat dilupakan oleh para pengunjung.

Soong berkata tiket berharga RM128 dengan caj tambahan RM98 bagi Pas Ekspres dan boleh dibeli melalui Sunway Super App.

Beliau berkata NOF tahun ini juga meningkatkan pengalaman seram ke peringkat global dengan memperkenalkan harta intelek (IP) dari seluruh dunia, membolehkan pengunjung "menjelajah" ke Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat dan China.  

"Tahun ini ialah satu kejayaan yang dicapai NOF, kami telah memecahkan rekod bilangan pelakon yang memohon dan juga menjalani uji bakat untuk NOF. Jadi, tahun ini terdapat kira-kira 500 pelakon seram yang akan berkeliaran di jalan NOF 10," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kreatif Global bagi Syarikat Hiburan Sudden Impact! Lynton V Harris teruja untuk terus meningkatkan pengalaman seram di NOF 10.

"Bersama-sama Sunway Lagoon, kami mencipta persekitaran unik, menyeronokkan dan penuh ngeri dengan setiap sudut membawa ketakutan baharu, dan kami tidak sabar menantikan pengunjung menikmati tarikan yang kami sediakan.

"Tahun ke-10 Nights of Fright ialah perayaan segala-galanya yang menjadikan acara ini berjaya, serta menjanjikan mimpi ngeri baharu yang tidak dapat dilupakan pengunjung," katanya.

Dengan gabungan aksi seram secara langsung, reka bentuk set yang mengagumkan dan pelbagai tarikan, NOF 10 semestinya acara yang perlu dikunjungi buat peminat seram.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan