AM

JKNNS SIASAT DAKWAAN AIR PERIGI MAMPU UBATI PELBAGAI PENYAKIT

30/10/2024 04:24 PM

SEREMBAN, 30 Okt (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) sedang menjalankan siasatan terhadap pengusaha rawatan yang mendakwa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit dengan menggunakan air perigi di sebuah tapak perkhemahan di Rembau. 

Pengarah JKNNS Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata Pejabat Kesihatan Daerah Rembau sedang melaksanakan pemeriksaan menyeluruh isu ini yang telah mendapat perhatian meluas dalam media sosial.

"Saya tidak boleh beri sebarang komen kerana siasatan masih terlalu awal dan ia bukan sahaja oleh Jabatan Kesihatan, tetapi juga melibatkan pelbagai agensi," katanya kepada pemberita selepas Operasi Mega Bersepadu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Senawang di sini malam tadi.

Baru-baru ini tular melalui media sosial mengenai penggunaan air dari sebuah perigi di Rembau didakwa mampu memberi manfaat kesihatan kepada individu yang menghidap pelbagai penyakit termasuk strok menerusi teknologi rawatan khas.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi aplikasi X semalam memberi respons akan mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan.

Sementara itu, Dr Harlina berkata pihaknya mengeluarkan 141 notis pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap 4,376 premis yang diperiksa bermula 1 Okt hingga semalam.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 138 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 16(2) iaitu kesalahan merokok di kawasan larangan dan tiga notis di bawah Seksyen 17(1) melibatkan kesalahan merokok bagi orang belum dewasa (OBD) dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM34,650.

"Sebanyak 5,092 penguatkuasaan berbentuk pendidikan juga telah diberikan kepada pemilik atau wakil premis dengan edaran 5,092 risalah infografik berkaitan peruntukan di bawah Akta 852,” katanya.

Beliau berkata operasi dijalankan di daerah Seremban itu melibatkan 172 pegawai penguat kuasa melibatkan pelbagai agensi.

Dr Harlina berkata selain memasang papan tanda larangan merokok, pemilik premis perniagaan juga  dinasihatkan meletakkan rokok dan vape di dalam kabinet tertutup, bukannya dipamerkan secara terbuka seperti sekarang. 

"Sekarang ini kita hanya melaksanakan advokasi pendidikan kepada semua pemilik premis yang menjual alatan merokok dan mereka perlu melakukan pengubahsuaian itu (mengikut peraturan Akta 852) tanpa gagal sebelum tarikh penguatkuasaan sepenuhnya pada 1 April 2025, " katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan