AM

GARAP SEMANGAT DEEPAVALI UNTUK CAPAI KESEJAHTERAAN - PM ANWAR

31/10/2024 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar semangat Deepavali atau Pesta Cahaya dapat digarap untuk membawa Malaysia mencapai kesejahteraan, sekali gus meneruskan perjuangan ke arah kebaikan, keadilan dan masa depan yang lebih cerah.

Berucap di hadapan ribuan rakyat yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di sini hari ini, Perdana Menteri berkata sambutan ini selaras dengan sejarah dan signifikan sambutan perayaan berkenaan, yang lebih daripada sekadar pesta makan dan minum.

“Kita tahu semangat Deepavali adalah menyalakan cahaya untuk menggantikan kegelapan. Sambutan ini membawa sejarah yang patut diketahui oleh rakyat, bahawa hidup ini lebih bermakna daripada sekadar makan dan minum.

“Mudah-mudahan semangat Deepavali ini memberi ruang kepada masyarakat Hindu dan rakan-rakan lain untuk bersama-sama membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih bergemerlapan,” katanya dalam ucapan ringkas.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, serta menteri-menteri dan timbalan menteri.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan