AM

TIDAK TERPINGGIR, PESARA JUGA TERIMA MANFAAT PELARASAN PENCEN SSPA

31/10/2024 03:24 PM

MARANG, 31 Okt (Bernama) -- Pesara kerajaan bakal menerima manfaat daripada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) apabila pencen yang mereka terima akan diselaraskan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata pelarasan itu akan menambah peratusan pencen diterima pesara menerusi persetujuan oleh kerajaan sekali gus membolehkan kumpulan itu menikmati kenaikan seperti diperoleh penjawat awam yang masih berkhidmat.

“Pelarasan pencen ini memang dilaksanakan setiap kali terdapat sistem saraan baharu. Bukan hanya mereka yang dalam perkhidmatan yang akan mendapat manfaat, sebaliknya pesara juga akan merasakanya.

“Namun, bagi mereka yang memilih untuk kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan kemudian akan menerima pencen pada tahun hadapan, pengiraan pencen adalah berdasarkan gaji akhir SSM. Sementara bagi yang memilih opsyen SSPA, pengiraan pencen akan berdasarkan gaji akhir SSPA iaitu selepas pelarasan Disember ini,” katanya selepas menyantuni dua pesara kerajaan Persekutuan di sini semalam.

Wan Ahmad Dahlan yang menyeru penjawat awam untuk memilih SSPA sebelum tempoh opsyen berakhir 30 Nov ini turut menjelaskan mereka yang memutuskan untuk kekal dengan SSM tidak akan dinafikan hak pencen mereka ketika bersara kelak, namun tidak akan mendapat pelarasan gaji Disember nanti.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 2024 Ogos lepas berkata pesara dan penerima pencen terbitan akan menerima pelarasan pencen sama dengan kenaikan peratusannya yang dinikmati oleh penjawat awam yang sedang berkhidmat, melalui dua fasa.

Menyentuh mengenai program lawatannya itu, Wan Ahmad Dahlan berkata ia membuktikan komitmen kerajaan yang tidak pernah mengabaikan pesara, terutama ketika golongan itu berdepan pelbagai permasalahan seperti kesihatan dan kewangan.

“Insya-Allah program ini akan diteruskan untuk pastikan hasrat Perdana Menteri yang mahu kemiskinan ditangani dengan tuntas dan boleh dilaksanakan sebaik mungkin. Bagi pesara pula, walaupun tidak lagi berkhidmat, jasa mereka tetap dihargai kerajaan,” katanya.

Sementara itu, pesara Telekom Malaysia Berhad, Ahmad Puteh, 67, berkata keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pesara tidak boleh dipersoalkan apatah lagi dia yang kini uzur akibat ketumbuhan dalam kepala menerima bantuan berupa kerusi roda dan lampin pakai buang melalui lawatan Wan Ahmad Dahlan ke kediamannya di Kampung Darat Pak Chah, Seberang Marang. 

Beliau yang bersara pada 2002 setelah 30 tahun berkhidmat tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan syukur apabila dimaklumkan terpilih menerima sumbangan itu yang disifatkannya sebagai penghargaan setelah lama mencurahkan keringat untuk negara. 

“Terima kasih kerana mengenang jasa orang lama. Berilah sumbangan kepada pesara yang memerlukan kerana sejujurnya mereka amat-amat mengharapkannya,” katanya sambil menasihatkan penjawat awam yang masih berkhidmat untuk ikhlas dalam menjalankan tugas.

Beliau yang mempunyai lapan anak dan 14 cucu, turut mengingatkan pegawai kerajaan agar tidak bersikap pilih kasih dan tidak melihat status sosial rakyat sewaktu bertugas kerana tiada lain yang diharapkan masyarakat selain perkhidmatan terbaik daripada penjawat awam.

Rohati A. Jalil, 68, pesara kerajaan yang menamatkan perkhidmatan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu pada 2011, menggalakkan penglibatan lebih ramai kaum lain selain Bumiputera dalam perkhidmatan awam.

“Masa saya kerja dulu pun sepanjang 37 tahun perkhidmatan, di sesuatu bahagian, dalam ramai-ramai hanya ada seorang kaum lain. Mungkin mereka kurang berminat dengan kerja kerajaan tetapi harapnya dengan kenaikan gaji yang diumumkan, ini akan tarik mereka untuk menyertai perkhidmatan awam,” katanya.

Rohati, yang kini berkerusi roda akibat ketumbuhan pada tulang belakang turut menzahirkan rasa puas hatinya dengan mutu perkhidmatan penjawat awam ketika ini.

Menyedari hakikat perkhidmatan awam kini berdepan cabaran lebih besar selaras perkembangan teknologi, Rohati menasihatkan penjawat awam untuk terus berbudi bahasa agar rakyat dapat merasai kualiti kerja sektor kerajaan yang terbaik. 

Pada lawatan itu, Wan Ahmad Dahlan turut menyampaikan sumbangan eKasih daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Terengganu kepada dua penerima iaitu Md Rosmadi Md Yahya dan Muhammad Asrol Azmi dengan masing-masing menerima bantuan kelengkapan rumah bernilai RM7,575 dan RM9,858.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan