AM

PELARASAN LANJUT DASAR GAJI MINIMUM UNTUK TINGKAT KEHIDUPAN RAKYAT PENDAPATAN RENDAH

02/11/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Kerajaan perlu melakukan pelarasan dan penalaan lanjut yang lebih teliti terhadap dasar gaji minimum di negara ini agar ia lebih berkesan dalam meningkatkan kehidupan rakyat berpendapatan rendah, kata Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Prof Dr Barjoyai Bardai.

Beliau berkata bagi mengekalkan keseimbangan dengan keperluan perniagaan dan pertimbangan ekonomi yang lebih luas, terdapat bidang yang perlu diperbaiki seperti kenaikan gaji minimum secara beransur-ansur iaitu sebanyak 65 peratus dalam tempoh 10 tahun.

“Ia bagi mengimbangi keperluan pekerja dan kebimbangan majikan berkaitan peningkatan kos perniagaan, namun ada sesetengah pakar berpendapat bahawa gaji minimum perlu dinaikkan dengan lebih ketara untuk memberikan pendapatan yang benar-benar mencukupi bagi menampung kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb 2025.

Kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan, iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Barjoyai berkata mengguna pakai kaedah gaji sejagat boleh memastikan tahap gaji minimum mencukupi untuk menampung hidup bagi pekerja yang tinggal di kawasan bandar berkos tinggi seperti Kuala Lumpur.

Beliau berkata kerajaan juga boleh menawarkan insentif cukai untuk perniagaan kecil bagi menyokong perusahaan kecil dan mikro dalam membayar gaji minimum selain membantu mengimbangi peningkatan kos buruh.

“Pengecualian pekerja muda remaja daripada keperluan gaji minimum juga perlu, kerana mereka akan memulakan kerjaya dengan cuba memperoleh pengalaman kerja yang pasti mungkin lebih berharga untuk pembangunan kerjaya jangka panjang mereka daripada gaji permulaan yang lebih tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan dasar gaji minimum berkesan dengan memastikan pemeriksaan tempat kerja secara berkala selain menghukum sebarang pelanggaran dengan merentas semua sektor dan wilayah.

Beliau turut berpendapat kenaikan gaji minimum akan lebih menguntungkan pekerja asing kerana mereka telah bersedia untuk menerima sebarang kadar gaji yang ditetapkan sebaik tiba ke Malaysia serta akan terus hidup dengan gaya hidup dan kos sara hidup yang sama seperti di negara asal.

“Jadi setiap gaji tambahan akan menjadi bonus yang akan dihantar pulang ke negara asal mereka. Lebih daripada RM70 bilion dihantar pulang setiap tahun ke negara asal. Dianggarkan bagi setiap kenaikan gaji minimum RM100, sejumlah RM4 bilion akan dihantar pulang ke negara asal.

“Oleh itu, kenaikan gaji minimum RM200 dijangka meningkatkan kiriman wang ke negara asal sebanyak RM8 bilion. Mungkin, kali ini, kita boleh mengekang kiriman wang gaji ini kerana Malaysia adalah yang pertama memperkenalkan sistem caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing,” katanya.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata pekerja asing dikehendaki mencarum 11 peratus daripada gaji pokok dalam bentuk caruman pekerja kepada KWSP sebagai simpanan sekali gus memaksa majikan untuk mencarum 13 peratus daripada gaji kasar pekerja sebagai caruman majikan.

Barjoyai juga bersetuju bahawa dalam jangka masa pendek, polisi gaji minimum dirasakan sangat membebankan majikan, khususnya peniaga mikro dan kecil berikutan perniagaan yang masih belum stabil selain perlu mengawal kos lebihan untuk terus berdaya maju.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata kerajaan mengingatkan majikan supaya tidak menjadikan kadar gaji minimum yang baharu sebagai gaji permulaan kepada semua pekerja termasuk siswazah.

Sim berkata kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, merupakan gaji untuk pekerja asas dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah termasuk pekerja sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

“Jadi kita sarankan supaya (pekerja) diberikan gaji setimpal berdasarkan kemahiran atau kelulusan akademik yang ada. Jangan jadikan gaji minimum sebagai penanda aras kepada gaji permulaan kepada semua pekerja… Ini (penyelarasan gaji minimum) adalah strategi untuk pekerja paling asas iaitu 4.35 juta pekerja yang masih mendapat gaji di bawah RM1,700,” katanya.

Sim juga berkata tempoh penyelarasan gaji yang diberikan itu adalah munasabah dan mencukupi serta majikan diingatkan supaya mematuhi arahan yang ditetapkan.

Beliau juga menggesa mana-mana pihak terutama pekerja yang mengetahui terdapat pelanggaran undang-undang berkaitan perburuhan termasuk gaji minimum supaya melaporkan kepada Kementerian Sumber Manusia terutama Jabatan Tenaga Kerja supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Kenaikan kadar gaji minimum, katanya, bukan mahu membebankan golongan majikan namun ia antara lain memberikan pekerja kuasa membeli yang lebih tinggi seterusnya secara tidak langsung membawa limpahan ekonomi kepada usahawan dan syarikat kecil setempat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan