AM

473 GRADUAN UPM KAMPUS BINTULU DIRAIKAN PADA MAJLIS KONVOKESYEN

02/11/2024 07:51 PM

SERDANG, 2 Nov (Bernama) -- Seramai 473 graduan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) diraikan pada Majlis Konvokesyen kali ke-48 Sidang 1 selama dua hari di UPMKB, Bintulu bermula hari ini.

Pro Canselor UPM Tan Sri Peter Chin Fah Kui menyampaikan ijazah doktor falsafah (PhD) kepada dua penerima, ijazah sarjana (sembilan penerima), sarjana muda (122 penerima) dan diploma pelbagai pengajian kepada 340 penerima, sepanjang berlangsungnya konvokesyen itu.

UPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Chin turut menyampaikan hadiah kepada pemenang peringkat universiti iaitu Hadiah Live Animals Medical Centre bagi Graduan Terbaik Sarjana Muda tajaan Live Animals Medical Centre kepada Adika Rahmat Kadondoig daripada program Sarjana Muda Sains Bioindustri dengan Kepujian UPMKB.

Beliau turut menyampaikan Hadiah Yvonne Sing Sai Hoi (Graduan Terbaik Diploma) tajaan Yvonne Sing Sai Hoi kepada Vennesa Anne Anak Brown daripada program Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan, UPMKB. 

Untuk penerima Biasiswa Kursi Tok Nan pula terdiri penuntut Diploma Pembangunan Manusia iaitu Benedick Adam Anak Jawan, Farhana Nazwa Fakurrudin dan Zetty Azreen Zaini serta Mohamad Syukri Mohamad Adnan (Sarjana Pembangunan Manusia).  

Penajaan biasiswa itu ialah satu daripada inisiatif penubuhan Kursi Tok Nan antara UPMKB dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dalam usaha membantu dana pengajian anak tempatan dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Selain itu, Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM ke-48 (Sidang 1) UPMKB turut diadakan selama empat hari hingga esok, bermula 8 pagi hingga 11 malam di Tapak Ekspo Dewan Sri Kenyalang, UPMKB. 

Pelbagai aktiviti dan gerai jualan diadakan antaranya jualan produk pertanian seperti sayur-sayuran, anak pokok buah-buahan, bunga-bungaan, tanah campuran, kompos, hasil ternakan seperti daging lembu, daging rusa, ikan, burung puyuh, arnab dan lain-lain.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan