AM

KERAJAAN NEGERI PERHALUSI PENGAMBILAN VAKSIN DENGGI, PERSEDIAAN MUSIM TENGKUJUH

02/11/2024 04:33 PM

ISKANDAR PUTERI, 2 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri akan memperhalusi cadangan pengambilan vaksin denggi serta persediaan menghadapi musim tengkujuh, dalam satu mesyuarat khas pada Khamis depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata mesyuarat berkenaan susulan peningkatan kes demam denggi sebanyak 36.1 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-43 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata mesyuarat itu melibatkan Jawatankuasa Khas Perangi Denggi Negeri Johor dan kerajaan negeri akan meneruskan beberapa program yang dilaksanakan sebagaimana sebelum ini melalui peruntukan RM250,000.

“Inisiatif yang dilakukan adalah memfokuskan kawasan panas termasuk pada musim tengkujuh dengan melakukan semburan luar (fogging) serta beberapa aktiviti gotong-royong dan pemantauan secara berterusan.

“Dalam masa sama, akan mengambil satu lokasi panas sebagai projek perintis memerangi denggi, dan jika ia memberikan impak yang bagus kita boleh teruskannya di kawasan lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2024 Peringkat Negeri Johor di Sireh Park, di sini hari ini.

Ling berkata penduduk yang tinggal di kawasan panas denggi disaran mengambil vaksin di klinik atau hospital swasta.

Sementara itu, beliau berkata program berkenaan merupakan langkah awal untuk mencapai sasaran  menjelang 2030 untuk bukan sahaja menjadi maju tetapi selari dengan penjagaan alam sekitarnya.

Beliau berkata pelbagai aktiviti berbentuk advokasi dilaksanakan seperti program pengumpulan e-waste, pengumpulan barangan kitar semula, penanaman anak pokok, pelepasan anak ikan, pemuliharaan rumput laut dan pendedahan Jelajah Jangan Bakor Ek.

“Berkenaan e-waste, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan. Kita ada prosedur untuk melupuskan sampah jenis ini dengan mengeluarkan atau kitar semula barang boleh digunakan kembali seperti logam dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan