AM

LEBIH 6,500 INDIVIDU DAPAT KERJA MELALUI KARNIVAL KERJAYA PERKESO N.SEMBILAN

03/11/2024 03:42 PM

SEREMBAN, 3 Nov (Bernama) -- Lebih 6,500 individu di Negeri Sembilan mendapat pekerjaan menerusi karnival kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri bersama pelbagai agensi setakat 15 Okt lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan berkata angka tersebut tidak kecil dan ia merupakan pencapaian yang amat membanggakan dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran rakyat di negeri ini.

“Namun, masih banyak cabaran yang perlu diatasi termasuk untuk meningkatkan kualiti latihan dan memastikan kemahiran yang diberikan selaras dengan keperluan industri. 

“Justeru, saya menggesa kolaborasi strategik diteruskan antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta untuk memperluas peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak latihan yang relevan,” katanya dalam kenyataan sempena karnival Kerjaya CareerPlus Myfuture Jobs Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus melaksanakan program kebolehpasaran dan latihan kemahiran termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang relevan dengan keperluan industri  semasa serta menambah baik kemudahan dan alat bantuan latihan di institut latihan.

Dalam pada itu, Veerapan berkata bagi meningkatkan kebolehpekerjaan rakyat di negeri ini, PERKESO turut menyediakan perkhidmatan temu duga secara walk in di Pejabat PERKESO Negeri, Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar negeri dan Pusat Komuniti Desa di semua daerah.

“Kami mengalu-alukan para majikan yang mempunyai kekosongan jawatan untuk hadir di Pejabat PERKESO Negeri Sembilan bagi menggunakan fasiliti yang disediakan untuk tujuan temu duga pencari kerja,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan