AM

PELAJAR UPMKB KERJA KILANG KUMPUL DUIT UNTUK SAMBUNG BELAJAR

03/11/2024 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Seorang pelajar sanggup membanting tulang empat kerat di  sebuah kilang membungkus kayu papan lapis di Bintulu, Sarawak semata-mata untuk mengumpul wang bagi membayar yuran pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pelajar Diploma Pembangunan Manusia, Benedick Adam Anak Jawan, 21, berkata berkat bekerja di kilang itu, beliau mampu membiayai yuran pengajian semester pertama di UPM Kampus Bintulu (UPMKB) dalam bidang diminati demi mengubah masa depannya.

“Untuk memperoleh diploma bukan sesuatu yang mudah, saya belajar bersungguh-sungguh sehinggakan menerima biasiswa Kursi Tok Nan. Walaupun ibu suri rumah dan ayah pula seorang pemandu lori, saya berjaya membuktikan kepada semua bahawa usaha yang gigih akan membuahkan hasil.

"Saya menginspirasikan kedua-dua ibu bapa saya yang tidak pernah lelah dalam membesarkan kami adik-beradik. Motivasi dalam diri saya adalah ‘jika orang lain boleh, kita juga mesti boleh’. Bagi mencapai sebuah matlamat, terdapat banyak halangan dan rintangan yang kita perlu hadapi,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan UPM hari ini.

Berasal daripada keluarga susah, Benedick Adam bertekad untuk mengubah kehidupan keluarga dan memberi inspirasi kepada adik-beradiknya yang lain.

''Terdapat banyak cara untuk melanjutkan pelajaran di universiti tetapi bergantung pada usaha sendiri. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” katanya.

Inisiatif penubuhan Kursi Tok Nan antara UPMKB dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, secara langsung membantu dana pengajian anak tempatan dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan