AM

KAMPUNG ANGKAT MADANI: PENDUDUK DAPAT KEMUDAHAN URUS JENAZAH SELEPAS 60 TAHUN

04/11/2024 09:27 AM

LARUT, 4 Nov (Bernama) -- Selepas hampir 60 tahun mengalami kesukaran menguruskan jenazah, penduduk di Kampung Masjid, Ijok kini bersyukur apabila kemudahan yang lebih sesuai bakal disediakan, hasil inisiatif Kampung Angkat MADANI.

Pengerusi Masjid Toh Paduka Raja Kampung Masjid Idris Sudin, 70, berkata sebelum ini banyak keluhan telah diutarakan masyarakat kepada beliau berhubung perkara terbabit, namun disebabkan tiada dana atau peruntukan yang cukup ia menjadi penghalang untuk menyediakan tempat mandi jenazah itu.

“Sebelum ini memang tiada, walaupun masjid ini telah pun menjalani tambah baik bangunan sebanyak tiga kali, ruang untuk memandikan jenazah tetap tidak dapat dilaksanakan, bagaimanapun dengan adanya program yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ia telah membuka peluang kepada kami.

“Alhamdulillah, selepas mengetahui kampung ini menjadi antara kawasan Kampung Angkat MADANI, saya cuba mengutarakan masalah ini kepada wakil Jabatan Audit Negara (JAN) iaitu jabatan yang dipertanggungjawabkan terhadap kampung ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Kampung Angkat MADANI JAN di sini semalam.

Idris berkata sebelum ini orang kampung akan memandikan dan menguruskan jenazah di rumah mereka sahaja dan perkara itu agak sukar kerana ada rumah yang kecil dan sempit yang mengehadkan proses menguruskan jenazah.

Sementara itu, Penghulu Mukim Hulu Ijok Mohammad Asyraf Zulkifli, 33, berkata selain itu, ruang masyarakat berkumpul iaitu Arena Square turut menjadi satu daripada projek naik taraf dalam program Kampung Angkat MADANI yang juga merupakan tanah wakaf masjid itu.

“Arena Square ini juga memberi manfaat dan kesan yang mendalam kepada orang kampung kerana sebelum ini kawasan berkenaan berbau busuk dan kotor dengan najis burung kerana ada tempat burung hinggap pada bahagian siling.

“Namun, selepas kita ada dana yang cukup melalui program ini, apa yang kita buat ialah dengan tutup semua siling dan pasang mesin pengesan burung untuk menghalau burung yang hinggap di kawasan itu, dan alhamdulillah ia berkesan dan tiada lagi masalah busuk dan kotor,” katanya.

Mohammad Asyraf berkata dengan menaik taraf kawasan itu juga, ia nampak lebih kemas dan cantik yang bukan sahaja memberi manfaat kepada 900 penduduk Kampung Masjid, tetapi juga memberi tempias kepada kira-kira 9,800 lagi masyarakat dalam Mukim Ijok.

“Bayangkanlah sebelum ini penduduk buat bazar Ramadan di situ, kita sepatutnya bila dah duduk bawah Arena Square tidak perlu pasang khemah, namun disebabkan masalah itu kena pasang khemah, jadi harapnya Ramadan tahun depan tiada lagi masalah seperti ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi merasmikan Kampung Angkat MADANI JAN di Kampung Masjid dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi menaik taraf 10 projek di kawasan terbabit.

Antara projek berkenaan ialah pembinaan dewan sekolah, pemasangan lampu solar dan menaik taraf kemudahan di masjid serta kemudahan awam seperti ruang perniagaan, gelanggang futsal, taman permainan dan sistem saliran.

Pada 6 Julai lepas, Perdana Menteri mengarahkan Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara supaya memilih kampung asal atau kampung lain untuk dijadikan kampung angkat bagi memastikan pembangunan tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan