AM

KHALED ADAKAN PERBINCANGAN SUSULAN BAGI PEROLEHAN JET TEMPUR KUWAIT

05/11/2024 09:56 AM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengadakan pertemuan dengan Duta Kuwait di Malaysia, Rashed M. R. Al-Saleh, bagi membincangkan hasrat Malaysia untuk memperoleh pesawat tempur milik Tentera Udara Kuwait (KAF).

Mohamed Khaled dalam perkongsiannya di laman media sosial memaklumkan bahawa perbincangan di Kementerian Pertahanan itu merupakan susulan kepada lawatan kerja rasminya ke Kuwait pada awal Oktober lepas.

“Semasa di Kuwait, saya telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri negara tersebut.

“Saya turut melawat Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber yang menempatkan skuadron yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik KAF,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, perolehan pesawat tempur tersebut berupaya meningkatkan keupayaan dan kesiagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mohamed Khaled semasa mengadakan lawatan ke Kuwait pada 7 Okt lepas telah mengadakan perbincangan dengan negara itu untuk memperoleh pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 Kuwait dilaporkan telah memberikan jawapan positif tentang perkara itu dan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan pegawai tentera antara kedua-dua negara itu untuk memulakan perbincangan serta rundingan bagi memastikan prasyarat dipenuhi seterusnya membolehkan proses pembelian jet berkenaan dilakukan.

Perbincangan mengenai perolehan pesawat berkenaan susulan lawatan Duta Kuwait ke Malaysia Rashed Mohammed Rashed Al-Saleh dan isu itu dibangkitkan sebagai satu langkah untuk memperkukuh hubungan pertahanan antara kedua-dua negara pada 11 Julai lepas.

Langkah ini dilihat sebagai usaha strategik yang bukan sahaja memperkasakan pertahanan negara tetapi juga membuka peluang kepada kerjasama lebih erat dalam bidang teknologi pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan