EKONOMI

SEACARE 2025: PAMER PRODUK TERKINI, BENTUK MASA DEPAN PENJAGAAN KESIHATAN

05/11/2024 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- SEACare 2025, pameran perdagangan farmaseutikal dan penjagaan kesihatan yang unggul di Asia Tenggara akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 23 hingga 25 April 2025.

Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd Richard Teo berkata pameran itu akan didakan dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

“SEACare 2025 berbangga untuk bekerjasama dengan NCSM, menjadikannya sebagai pameran perdagangan pertama seumpamanya di Malaysia dengan komponen tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang signifikan. Sebahagian daripada hasil jualan akan disumbangkan terus kepada NCSM, sebagai menyokong usaha berterusan mereka dalam program penjagaan dan kesedaran kanser,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pameran itu berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan produk terkini, menjalin kerjasama baharu dan mengetuai perbincangan yang membentuk masa depan penjagaan kesihatan.

“SEACare 2025 secara langsung menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, yang mengutamakan peranti perubatan dan farmaseutikal sebagai sektor utama untuk pembangunan.

“Dengan unjuran pertumbuhan dijangka meningkat 25 peratus dan potensi jualan dianggarkan bernilai RM1 bilion, SEACare 2025 selari dengan impian Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai hab penjagaan kesihatan serantau,” katanya.

Richard berkata dengan memudahkan padanan perniagaan melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dan menawarkan platform untuk perkongsian pengetahuan serta inovasi, SEACare menyasarkan untuk meningkatkan eksport, menarik pelaburan bernilai tinggi, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran penjagaan kesihatan global.

Beliau berkata SEACare 2025 dibina atas kejayaan pameran perdagangan edisi lepas dengan fokus kepada transformasi digital dan perkongsian strategik dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Kami telah tingkatkan lagi penyertaan ke pameran ini, dengan 500 pempamer dan 15,000 pelawat perdagangan dijangka hadir, dan matlamat kami adalah untuk mencapai potensi jualan sebanyak RM1 bilion.

“Fokus tahun ini pada inovasi digital yang mencerminkan keperluan industri untuk penyelesaian penjagaan kesihatan yang cekap dan berkesan,” katanya.

Richard berkata SEACare 2025 dengan tema Perkongsian Strategik dalam Inovasi Penjagaan Kesihatan: Memupuk Kerjasama untuk Transformasi Digital, menekankan komitmen membina ekosistem yang memacu inovasi melalui kerjasama, serta mewujudkan peluang perniagaan untuk meningkatkan akses dan kecekapan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata SEACare 2025 akan bekerjasama dengan pemain industri dan pihak berkuasa, termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk program INSP, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk meningkatkan kredibiliti pameran, dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk menyokong usaha mereka dalam penjagaan kanser.

Satu lagi aspek penting SEACare 2025 adalah kerjasama dengan MDA, yang pada pandangan beliau, mengukuhkan lagi kredibiliti dan sokongan kerajaan untuk pameran itu.

Beliau berkata sebagai badan kawal selia Malaysia untuk peranti perubatan, penglibatan MDA memastikan pempamer dan pelawat mematuhi piawaian eksport dan pelesenan, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap nilai pameran perdagangan berkenaan.

Richard berkata SEACare 2025 turut disokong oleh German Health Alliance (GHA), Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM), Ekspo Kesihatan Antarabangsa (IWE) 2024, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), dan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA).

“Pempamer di SEACare 2025 akan berpeluang mempamerkan produk mereka kepada lebih 15,000 pelawat perdagangan dari 61 negara terutamanya dari rantau Asia Tenggara, termasuk pembeli utama, pengedar dan pembuat keputusan dalam bidang penjagaan kesihatan.

“Acara ini akan menampilkan 500 gerai dan menawarkan padanan perniagaan, sesi perkongsian pengetahuan dan pelancaran produk baharu. Bagi pelawat, SEACare ialah tempat untuk melihat inovasi terkini, meneroka kerjasama baharu dan berhubung dengan peneraju industri,” katanya.

Richard juga menekankan bahawa dengan menghimpunkan pemain industri terkemuka dari Malaysia dan rantau ASEAN, ia akan membantu meningkatkan akses kepada produk dan perkhidmatan teknologi perubatan terkini, serta memupuk kerjasama yang boleh meningkatkan tahap penjagaan di seluruh Asia Tenggara.

Pelancaran awal SEACare 2025, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni diadakan pada 29 Okt di MITEC Kuala Lumpur. Majlis itu pelancaran itu turut menyaksikan penandatanganan MoU antara Qube, MDA dan NCSM.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan