AM

UKAS PERKUKUH KERJASAMA DENGAN BERNAMA, TINGKATKAN KUALITI KEWARTAWANAN

06/11/2024 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) komited memperkasakan kecekapan dan kualiti perkhidmatannya dalam bidang kewartawanan dan pengurusan maklumat menerusi usaha sama strategik dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

 Pengarah UKAS Samuel Simon berkata kerjasama itu diharap dapat membantu UKAS untuk meningkatkan kemahiran penulisan berita serta menghasilkan gambar yang menarik untuk tatapan umum. 

“Kami melihat banyak potensi untuk mengembangkan lagi kerjasama latihan dalam membuat liputan acara besar contohnya ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan para SUKMA baru-baru ini.

“Sempena lawatan ini, fokus kami juga untuk mempelajari sistem pengarkiban dan pengurusan maklumat secara lebih mendalam yang dilaksanakan oleh agensi ini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan kunjungan ke Bernama hari ini. 

Beliau berkata sistem berkenaan memainkan peranan penting sebagai rujukan berharga dalam menyimpan, mengarkibkan dan memproses bahan berita serta multimedia untuk kegunaan jangka panjang.

Dalam lawatan itu, delegasi UKAS yang turut disertai Ketua Penolong Pengarah UKAS Muller Asen, disambut Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Nasriah Darus, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Mohd Haikal Mohd Isa dan Ketua Penyiaran TV dan Radio Bernama Mohd Shukri Ishak. 

Delegasi UKAS juga berpeluang mendalami operasi Bernama dalam taklimat mengenai proses pengurusan berita dan lawatan ke Jabatan Pengarang serta bilik berita Bernama TV. 

Sementara itu, Nasriah berkata Bernama mengalu-alukan inisiatif kerjasama itu dan bersedia memperkukuh hubungan strategik dengan UKAS. 

"Kita sudah ada hubungan strategik dan akan diteruskan terutamanya melalui latihan yang boleh dilakukan menerusi Pusat Kecemerlangan Bernama dan aspek-aspek lain yang kita fikirkan sesuai nanti. 

“Uniknya kerjasama ini sebab UKAS dan Bernama masing-masing agensi kerajaan dan ada banyak persamaan yang kita turut boleh berkongsi dari segi pengalaman dan matlamat,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan