AM

3,459 GRADUAN BAKAL DIRAIKAN PADA KONVOKESYEN UTEM KE-20

06/11/2024 05:08 PM

MELAKA, 6 Nov (Bernama) -- Sebanyak 3,459 graduan bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-20, yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 Nov ini di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM di sini.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata jumlah itu melibatkan 120 graduan doktor falsafah (PhD), sarjana (159), sarjana muda (2,683) dan 497 penerima diploma. 

"Jumlah keseluruhan graduan UTeM tahun ini ialah paling ramai dalam sejarah, begitu juga graduan PhD.

"Peningkatan ini turut melonjakkan angka peratusan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) UTeM kepada 70.3 peratus berbanding 68 peratus pada tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Massila berkata UTeM turut memperkenalkan Anugerah TEJA yang bakal disampaikan kepada graduan ikon mahasiswi yang mengharumkan nama universiti dalam pelbagai aspek.

Beliau berkata ia meliputi aspek pembangunan akademik dan kerjaya, kepimpinan, etika dan kerohanian, sukarelawan dan khidmat komuniti, kebudayaan dan identiti nasional, sukan dan rekreasi, serta teknikal dan inovasi.

“Anugerah TEJA merupakan kesinambungan Anugerah TUAH yang telah diberikan kepada ikon graduan dalam kalangan mahasiswa pada majlis konvokesyen UTeM terdahulu.

"Ia adalah antara anugerah utama di samping Anugerah Pelajaran Diraja, Hadiah Canselor, Hadiah Naib Canselor, Hadiah Industri, Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Khas Huffaz Profesional," katanya.

Beliau berkata 78 graduan akan menerima anugerah utama berkenaan yang akan disampaikan sewaktu sesi pertama pada hari pertama majlis konvokesyen itu nanti.

Massila berkata UTeM juga mendapat tajaan khas daripada pihak industri untuk dianugerahkan kepada graduan cemerlang pilihan industri bagi Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Industri.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan