AM

GARIS PANDUAN PENGOPERASIAN CMO TAMBAH BAIK PROSES TUNTUTAN ROYALTI

07/11/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan Garis Panduan Pengoperasian Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) sebagai langkah segera penambahbaikan berkaitan tuntutan royalti terutama dalam kalangan penggiat seni tempatan.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia diwujudkan bagi memantau dan mengambil tindakan lebih tersusun sekiranya ada pelanggaran terhadap syarat penubuhan CMO di bawah Akta Hak Cipta 1987.

“Kita sedang memuktamadkannya. Insya-Allah, pada Disember (tahun ini) selesai dan KPDN akan menghebahkannya kepada semua, dan ia dijangka berkuat kuasa pada April 2025,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sentuhan Kasih MADANI di sini hari ini.

Beliau berkata garis panduan itu akan memberi kuasa kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk memantau pengurusan kutipan dan pengagihan royalti oleh CMO bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti demi menjaga hak serta kebajikan penggiat seni dan pengguna.

Mengenai Majlis Sentuhan Kasih MADANI hari ini, Armizan berkata program itu melibatkan sebahagian daripada penggiat seni yang terlibat dengan tunggakan bayaran royalti berikutan pengisytiharan Organisasi Pengurusan Kolektif (PRISM) yang dibatalkan pada April 2019.

Susulan pembatalan itu, isu tertunggak berkaitan bayaran royalti kepada karyawan yang berdaftar di bawah PRISM telah berbangkit hingga kini, dan beliau berkata KPDN komited melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan golongan itu mendapat hak mereka.

“Sebanyak 495 artis di bawah pendaftaran PRISM ini, sebahagiannya telah diselesaikan awal namun ada lagi 164 artis yang belum menerima royalti…Alhamdulillah, tahun ini, setakat ini kita dapat jumpa 25 artis dan mereka telah tandatangan dokumen (proses tuntutan royalti) dan dalam tempoh dua minggu bayaran royalti ini akan masuk ke akaun masing-masing,” katanya.

Sejumlah RM2,040,846.84 hasil royalti ahli PRISM tersedia untuk diagihkan kepada 495 ahli yang layak berdasarkan penggunaan lagu pada 2018 dan daripada jumlah hasil royalti itu, sebanyak RM339,058.57 baki yang belum dituntut oleh 164 ahli penggiat seni.

Armizan berkata KPDN sedang melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri seni seperti pemegang taruh dan persatuan artis bagi menambah baik pengurusan tuntutan royalti di bawah Akta Hak Cipta 1987.

“Ada syor dibangkitkan untuk mewujudkan satu CMO tunggal dan ada penggiat industri seni mahu ia direalisasikan kerana sukar untuk berurusan dengan pelbagai CMO (yang ada) namun (perkara ini) masih tiada konsensus.

“Ada (penggiat industri seni) cenderung (penubuhan) pelbagai CMO agar dapat membuat pilihan CMO (untuk pengurusan proses tuntutan royalti) dan perkara ini sedang kita buat perbincangan berterusan sebelum sampai kepada satu pindaan (Akta Hak Cipta 1987) kerana ia melibatkan pelbagai aspek,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan