AM

MALAYSIA TEKAD JADIKAN VISI KOMUNITI ASEAN 2045 DOKUMEN TERAS KERJASAMA SERANTAU

07/11/2024 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan akan memastikan Visi Komuniti ASEAN 2045 mampu berperanan sebagai dokumen teras yang akan menjadi kerangka utama dalam menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kerjasama berkekalan di rantau ini. 

Menurut jawapan bertulis Kementerian Luar yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, ASEAN akan melancarkan visi dan pelan strategiknya yang menggariskan hala tuju strategik rantau itu bagi 20 tahun akan datang pada 2025.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia akan memberi tumpuan kepada prinsip Kepusatan ASEAN melalui dialog dan diplomasi, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik antarabangsa dan integrasi ekonomi serantau ke arah memelihara rantau yang aman, stabil, selamat dan makmur.

“Tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia ialah Keterangkuman dan Kemampanan. Matlamat Malaysia adalah untuk menggalakkan pembangunan, pertumbuhan dan kemakmuran di peringkat semua lapisan masyarakat secara mampan demi kesejahteraan rakyat,” menurut kementerian itu.

Kementerian itu menjawab soalan yang dikemukakan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berhubung hala tuju dan fokus utama Malaysia apabila menjadi pengerusi ASEAN 2025 khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik antarabangsa dan integrasi ekonomi serantau.

Dalam konteks hubungan luar, Kementerian Luar memaklumkan Malaysia akan menggalakkan rakan dialog untuk menguruskan perbezaan dengan penuh tanggungjawab serta mengelak ketegangan daripada terus meruncing, selain penekanan kepada keperluan menolak sebarang pendekatan negatif dari luar yang boleh memecahbelahkan perpaduan ASEAN.

“Dari segi integrasi ekonomi pula, Malaysia akan menumpukan usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang dilihat masih berada di peringkat yang rendah. Malaysia yakin bahawa penaiktarafan Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) semasa kepengerusian negara tahun depan akan membantu usaha tersebut,” menurut jawapan bertulis itu.

Pada masa sama, Malaysia akan mengemudi usaha meneroka dan memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN termasuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua dan juga Sidang Kemuncak ASEAN + GCC + China.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan