KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Penerima Anugerah Emas Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan Malaysia kali ke-14 tahun ini Muhammad Asif Mohd Fahmi berhasrat melahirkan lebih ramai pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam aspek jasmani, rohani dan emosi.
Bercakap kepada media selepas majlis konvokesyen hari ini, anak muda berusia 23 tahun itu berkata beliau berharap untuk mendidik generasi murid yang seimbang dan berkualiti melalui pendekatan yang pelbagai bagi memastikan mereka berkembang sebagai individu holistik.
Kecemerlangan beliau di dalam sukan bola sepak, unit beruniform serta kepimpinan membolehkan beliau terpilih untuk melanjutkan pengajian di IPG Kampus Temenggong Ibrahim (KTI), Johor Bahru dalam opsyen Pendidikan Jasmani.
Walaupun terpilih ke IPGKTI menggunakan tiket "Laluan Khas Sukan", beliau berjaya menunjukkan kecemerlangannya dalam bidang akademik dan telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Opsyen Pendidikan Jasmani pada Tahun 2020 serta berjaya menerima Anugerah Pengarah pada setiap semester.
Bakat kepimpinan yang ada pada diri beliau membolehkan Muhammad Asif terpilih sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPGKTI pada Sesi 2022/2023 dan terpilih menjadi 7 teratas Jawatankuasa Yang Dipertua IPG Sesi 2022/2023.
Mengimbas kejayaan peribadinya, Muhammad Asif yang kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Menjalara, Kepong berkata rahsia beliau menguruskan masa dan komitmen dalam kepimpinan, sukan dan pendidikan adalah dengan membuat persediaan harian lebih awal.
“Setiap hari, saya akan sediakan jadual sehari sebelumnya. Pada waktu pagi, saya sibuk dengan latihan di IPG Kampus, petang dengan latihan bola sepak dan malam pula untuk tugasan akademik,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengorbanan yang dilakukannya seperti memendekkan tempoh cuti untuk memberi tumpuan kepada tugasan kampus.
“Ketika rakan-rakan pulang bercuti selama dua minggu, saya hanya pulang selama seminggu sahaja bagi meluangkan masa bersama keluarga, manakala seminggu lagi dihabiskan di kampus untuk menyelesaikan komitmen akademik,” jelasnya.
Asif mengakui tekanan yang dihadapinya terutama ketika pertama kali memegang jawatan sebagai Yang Dipertua kampus, namun sokongan keluarga serta kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai guru membantunya meneruskan pengajian.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mempunyai ayah dan umi yang sentiasa memberi sokongan moral untuk saya,” katanya yang kini bersedia untuk mendidik pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Sementara itu, penerima Anugerah Khas Kokurikulum Jasmine Tay Jing Xuan, 23, berkata beliau berasa sangat berbangga dan bersyukur diberikan anugerah berkenaan.
“Ternyata usaha saya selama lima tahun ini telah membuahkan hasil. Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, IPG dan juga IPGKTI,” katanya.
Tay yang kini ditempatkan di sekolah di Pontian, Johor berkata beliau berharap dapat memperkenalkan sukan Wushu di sekolah itu, iaitu sukan yang diminati beliau sejak kecil lagi.
Anak kelahiran Negeri Sembilan itu mula mewakili negeri itu dalam kejohanan sukan Wushu pada tahun 2012 dan telah mewakili Malaysia dalam kejohanan Wushu peringkat antarabangsa kali pertama pada usia 13 tahun.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang hadir menyempurnakan majlis hari ini berkata seramai lebih kurang 6,000 graduan IPG telah berjaya mendapat penempatan sebagai guru di seluruh negara sebelum Istiadat Konvokesyen IPG pada 30 September lepas.
“Ini adalah antara kejayaan Kerajaan MADANI dalam memastikan peluang pekerjaan lebih awal buat graduan. Malah, para guru baharu ini telah pun menerima gaji pertama mereka,” katanya.
Beliau berkata graduan IPG ini telah memulakan tugas sebagai guru dan bersedia untuk mendidik di sekolah-sekolah rendah dan menengah.
Penempatan mereka dilaksanakan dengan teliti untuk memenuhi keperluan guru di seluruh negara secara adil, selaras dengan komitmen kerajaan dalam memberikan pendidikan berkualiti kepada semua murid, katanya sambil menambah sebahagian daripada graduan juga telah menamatkan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) bagi pengajaran di peringkat sekolah menengah.
“Ini menunjukkan usaha kerajaan dalam memastikan institusi pendidikan mempunyai guru-guru berkualiti tinggi demi kecemerlangan pelajar di seluruh negara,” katanya.
Majlis Konvokesyen IPG Kementerian Pendidikan ke-14 yang berlangsung selama lima hari bermula 3 Nov itu melibatkan 6,382 graduan yang menamatkan pengajian dan latihan perguruan di 28 kampus IPG dan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris.
-- BERNAMA