AM

INTERVENSI KERAJAAN DAN IOT, PENDORONG KECEKAPAN TENAGA INDUSTRI NEGARA

10/11/2024 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Inisiatif kerajaan menyokong penggunaan teknologi internet kebendaan (IoT) dalam pengurusan tenaga industri disifatkan sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kecekapan tenaga negara dan memacu pertumbuhan mampan.

Bendahari Persatuan Internet-of-Things Malaysia Pathmanathan Muniandy berkata penglibatan kerajaan amat diperlukan kerana sesetengah syarikat mungkin melihat inovasi teknologi baharu seperti IoT sebagai kos tambahan yang boleh mengurangkan keuntungan jangka pendek.

“Kerajaan memainkan peranan penting dalam mendidik industri tentang manfaat jangka panjang kecekapan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Menurut beliau inisiatif seperti Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) dan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) membantu syarikat memahami bahawa pendekatan ini bukanlah satu bebanan, sebaliknya pelaburan untuk pertumbuhan yang mampan.

Pathmanathan menjelaskan bahawa IoT memainkan peranan utama dalam usaha ini kerana teknologi tersebut membolehkan pemantauan dan analisis penggunaan tenaga secara masa nyata, yang memberi peluang kepada syarikat untuk membuat penambahbaikan secara berterusan.

Dengan gabungan kecerdasan buatan (AI), IoT membantu industri mengenal pasti kawasan yang memerlukan penambahbaikan, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.

“IoT ialah masa depan pengurusan tenaga yang lebih efisien. Kerajaan turut berusaha memastikan teknologi ini mampu milik dan mudah diakses oleh semua perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Untuk menggalakkan peralihan ke arah penggunaan IoT, beliau berkata kerajaan menyediakan pelbagai insentif seperti subsidi, pelepasan cukai, dan geran bagi mengurangkan beban kos pelaksanaan, terutamanya bagi PKS.

Beliau optimis bahawa dengan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor industri, Malaysia dapat mencapai matlamat kecekapan tenaga tanpa menjejaskan daya saing ekonomi negara.

“Dengan penggunaan IoT untuk memantau tenaga, industri bukan sahaja dapat memenuhi piawaian kecekapan, malah turut menyumbang kepada komitmen Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) negara menjelang 2050,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan