AM

PENGENDALI PLATFORM MEDIA SOSIAL PERLU LEBIH PROAKTIF BANTU SEKAT AKTIVITI TIDAK BERMORAL

11/11/2024 03:05 PM

SUBANG JAYA, 11 Nov (Bernama) -- Pengendali platform media sosial perlu lebih proaktif dalam membantu kerajaan menyekat sebarang aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang-undang di akaun media sosial, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pihaknya mendapati pengendali platform berkenaan biasanya lambat bertindak dan hanya menurunkan kandungan seumpama itu sekiranya menerima aduan daripada pihak berkaitan.

Beliau memberi contoh beberapa minggu lepas, apabila tular di platform X mengenai satu halaman Facebook yang menjurus kepada kesalahan berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung bantuan teknikal mengenai hal tersebut, dan saya serahkan kepda PDRM untuk ambil tindakan dalam isu ini. 

“Saya percaya Meta (penyedia platform) telah menurunkan kandungan itu, tapi masalahnya Meta tidak proaktif, hanya setelah dibangkitkan, baru (buat) dan sepatutnya dia telah flag daripada awal. Ini antara sebab kenapa kita mahu platform-platform ini dilesenkan secara automatik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Carian Antarabangsa Ke-8: ‘Evolusi Media - Mengemudi Kelestarian dan Gangguan dalam Dunia Dinamik’ di Taylor's University, di sini hari ini.

Fahmi berkata penyedia platform media sosial sepatutnya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) masa kini dalam menyekat anasir-anasir yang memudaratkan itu.

“Apa guna ada AI? Apa guna mereka ambil duit dari rakyat Malaysia iaitu pendapatan Facebook pada tahun 2023 adalah RM2.5 bilion.. takkan mereka tidak ada untuk nak buat saringan automatik terhadap halaman-halaman jenayah ini?” katanya.

Sehubungan itu Fahmi mengulangi bahawa langkah memperkenalkan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah tepat, demi mengekang tiga jenayah utama yang kini ‘berhijrah’ ke ruang maya iaitu scam dan judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan