Oleh Muhamad Amir Aiman Azlan
SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan PayMate berganding bahu dalam usaha memperkasa kira-kira 70,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri ini dengan menawarkan kemudahan pilihan pembayaran tambahan.
Pengurus Besar PayMate Asia Pasifik Amirreza Sawal berkata kerjasama itu akan memperkasa PKS di serata Malaysia untuk membuat bayaran bekalan menggunakan kad kredit masing-masing tanpa mengira kaedah penerimaan di peringkat pembekal.
Beliau berkata menerusi platform PayMate, perniagaan juga dapat menikmati tempoh tanpa faedah sehingga 55 hari, sekali gus memberi fleksibiliti lebih ketara dalam pengurusan modal kerja.
“Dalam ruang B2B (perniagaan-kepada-perniagaan) banyak perniagaan yang sebaliknya terbatas dalam menggunakan kad kredit untuk tujuan pembayaran, khususnya apabila pembekal tidak menerima bayaran menggunakan kad secara langsung.
“Namun, Paymate membolehkan pengusaha untuk log masuk ke dalam platform sesawang atau aplikasi kami, memasukkan kad kredit dan membuat bayaran kepada mana-mana pembekal. Kemudahan ini membantu PKS menguruskan aliran tunai dengan lebih berkesan selain memastikan kelancaran operasi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Amirreza berkata pilihan yang disediakan oleh PayMate juga dapat mendorong pertumbuhan PKS dengan membolehkan mereka mengawal aspek kewangan selain mengurangkan kebergantungan terhadap kitaran aliran tunai.
Ini penting memandangkan ada segelintir perniagaan yang mungkin berdepan penangguhan pembayaran dan mengehadkan pilihan modal kerja.
Selain itu, beliau juga menyifatkan ledakan pasaran e-dagang telah mewujudkan keperluan kukuh bagi pilihan pembayaran yang fleksibel untuk menyokong aliran tunai.
Berikutan itu, kerjasama dengan SIDEC dapat mengukuhkan ekosistem tempatan dengan mengetengahkan pilihan bayaran yang fleksibel untuk menyokong aliran tunai serta skala perniagaan dalam pasaran yang serba pantas.
“Mesej kami mudah -- Paymate dapat menyemarakkan lagi impian anda. Dalam dunia yang menyaksikan aliran tunai dapat menjayakan atau sebaliknya terhadap perniagaan, kami memberi anda kemudahan fleksibel untuk membayar mana-mana pembekal dan pada bila-bila masa.
“Kerjasama ini juga melangkaui pembayaran; ini melibatkan aspek pemerkasaan untuk membolehkan anda merebut peluang baharu tanpa berdepan kekangan kewangan.
“Seiring dengan visi Belanjawan 2025, kami dapat membantu anda mencatat pertumbuhan menerusi mekanisme yang diperlukan untuk berjaya. Menerusi kerjasama dengan SIDEC, kami mengembalikan kuasa itu kepada anda,” katanya.
Platform PayMate dibangunkan menerusi sistem berteraskan pensijilan PCI DSS (Piawaian Keselamatan Data Industri Kad Pembayaran) yang menepati piawaian tertinggi bagi keselamatan transaksi, dipertingkat dengan penyulitan data maju serta protokol keselamatan yang tegas demi menjamin transaksi selamat untuk perniagaan.
-- BERNAMA
Penafian : Ini adalah advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab ke atas kandungan, ketepatan dan pendapat yang terdapat dalam artikel ini.