EKONOMI

PEMIMPIN, MENTERI APEC BAKAL BINCANG DASAR PACU EKONOMI DAN KETERANGKUMAN

11/11/2024 11:41 PM

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 11 Nov (Bernama) -- Minggu Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 bakal bermula minggu ini dengan agenda perbincangan barisan pemimpin dan menteri menyentuh aspek dasar dalam membolehkan 21 ekonomi anggotanya menangani pelbagai cabaran semasa.

Antara tumpuan Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) itu adalah perubahan iklim, penyelesaian tenaga mampan, peralihan ekonomi digital dan usaha memudah cara perdagangan selain menggalakkan usaha inovasi dan keterangkuman.

Bertemakan “Empower. Include. Grow,” tumpuan perbincangan akan merangkumi perdagangan dan pelaburan bagi pertumbuhan kesalinghubungan, inovasi dan pendigitalan bagi menggalakkan peralihan kepada ekonomi formal dan global serta pertumbuhan mampan untuk pembangunan yang berdaya tahan.

“Sebagai tuan rumah tahun ini, Peru mempunyai peluang besar bagi menerajui dialog ke arah isu yang berkepentingan kepada rakyat di rantau itu, menumpukan kemampanan, daya tahan dan keterangkuman digital,” kata Duta Carlos Vasquez yang juga Pengerusi Pegawai Kanan APEC 2024.

Dalam kenyataan pada Ahad, beliau juga menyifatkan peranan Peru selaku tuan rumah APEC sebagai menekankan komitmen negara itu bagi mengukuhkan kerjasama pelbagai hala serta menjadi pemain utama dalam penetapan agenda untuk rantau Asia Pasifik.

“Usaha kita bagi memacu perdagangan dan pelaburan selain agenda yang menumpukan pertumbuhan di APEC juga semakin mendapat momentum.

“Kalangan anggota APEC menyedari bahawa usaha memupuk norma dan dasar ekonomi baharu boleh memacu keterangkuman serta mewujudkan program-program berimpak yang menepati keperluan harian komuniti kita,” katanya.

Komitmen APEC terhadap kerjasama selain tumpuan strategik ke atas daya tahan dan pertumbuhan mampan, turut mengetengahkan platform bagi mencapai hasil bermakna selain berupaya menangani keperluan tiga bilion penduduk rantau itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC Tan Sri Rebecca Sta Maria berkata ekonomi APEC adalah jaringan kompleks dengan banyak cabang yang saling berkaitan.

“Sehubungan itu, kita tidak boleh hanya menumpukan satu-satu bidang dan (pada masa sama) mengetepikan yang lain. Kita perlu memastikan setiap bahagian itu mampu berjalan lancar serta mengambil kira semua komponen secara bersama,” katanya.

Di bawah pimpinan Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra Boluarte, minggu itu akan diakhiri dengan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 15-16 November ini yang bakal menyaksikan hala tuju kerjasama masa depan kalangan anggotanya dapat diwujudkan.

Menurut kenyataan itu, suara penduduk asli atau peribumi akan turut diketengahkan dalam perbincangan dengan kalangan menteri-menteri dijadual menemui wakil  golongan itu pada 13 November ini bagi meninjau aspek pertumbuhan inklusif dan pemerkasaan ekonomi dari perspektif mereka.

Selain itu pada 11-12 November, pegawai kanan APEC akan bermesyuarat untuk memuktamadkan inisiatif yang bertujuan melonjakkan perdagangan dan pertumbuhan selain membentuk kerangka bagi pembangunan dan pelaksanaan dasar bersama.

Ini disusuli dengan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC, anjuran sektor swasta yang juga dialog terbuka membabitkan pemimpin serantau dan perniagaan pada 14-15 November, bersempena dengan penganjuran AELW berkenaan.

Tidak ketinggalan, Sidang Kemuncak Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC pada 13 November yang mengutarakan agenda seperti peluang unik serta cabaran yang dihadapi sektor itu.

Peru yang menjadi tuan rumah APEC untuk kali ketiga selepas 2008 dan 2016, turut menjadi lokasi bagi lebih daripada 270 mesyuarat kerja sepanjang penganjuran kali ini di Lima, Arequipa, Pucallpa, Trujillo dan Urubamba.

APEC merupakan sebuah forum antara kerajaan yang menghimpunkan 21 negara anggota di Asia Pasifik bagi menggalakkan perdagangan bebas di rantau berkenaan.

Blok itu mewakili hampir 40 peratus daripada penduduk dunia, separuh perdagangan global dan lebih 60 peratus ekonomi global.

Malaysia merupakan antara 12 negara pengasas penubuhan APEC.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengetuai delegasi Malaysia, dijangka tiba di sini pada 12 November dan beliau diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan