AM

AMALAN INTEGRITI MESTI DISEMAI SECARA KONSISTEN, BERPERINGKAT - MOHAMED KHALED

12/11/2024 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menegaskan komitmennya untuk menjadikan integriti sebagai asas di semua aspek tadbir urus, meskipun menghadapi pelbagai cabaran bagi merealisasikan nilai berkenaan sebagai budaya dalam kalangan warga kementerian.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata integriti tidak hadir dan berkembang menjadi budaya dengan sendirinya, tetapi memerlukan usaha berterusan serta penyemaian yang konsisten di setiap peringkat organisasi.

Beliau berkata perkara berkenaan selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kepentingan tadbir urus dan tatakelola baik, di semua peringkat kerajaan.

“Setiap amalan baik mempunyai cabaran tersendiri, termasuk integriti yang tidak akan hadir menjadi budaya dengan sendiri, namun mesti disemai secara konsisten di semua peringkat,

“Paling penting, ia mesti disokong dengan satu ekosistem atau persekitaran yang baik,” kata beliau ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan, di Auditorium Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Beliau berkata apabila membincangkan persekitaran yang kondusif, tumpuan perlu diberikan kepada beberapa perkara penting termasuk sistem kerja, prosedur dan garis panduan yang jelas, kukuh dan mesra pengguna.

“Masalah integriti akan mula menyelinap masuk apabila wujud kerenah birokrasi yang menyusahkan semua orang.

“Isu korupsi atau cubaan untuk memintas kebanyakannya bermula akibat prosedur yang menyusahkan. Ini tidak bermaksud kita mesti mengambil mudah semua perkara. Mengambil mudah dan memudahkan urusan adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.

Mohamed Khaled berkata selaras dengan komitmen untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, satu Jawatankuasa Pemantauan Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan (JP4) peringkat Kementerian Pertahanan, telah ditubuhkan pada 23 Ogos.

“Penubuhan jawatankuasa ini selari dengan amanat perdana menteri semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) pada 16 Ogos, yang menekankan bahawa proses kerja sedia ada perlu ditambah baik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam memenuhi kehendak pelanggan,” kata beliau.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata aspek lain yang perlu diberikan perhatian untuk membudayakan integriti adalah dengan memanfaatkan teknologi terkini.

“Perkembangan teknologi dan inovasi terkini mesti diberikan perhatian. Selain sistem dalam talian, automasi dan pelbagai kelebihan perkomputeran serta reformasi digital, kita mesti mula menggunakan kelebihan yang ditawarkan oleh teknologi terbaharu, seperti analisis data besar dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Majlis hari ini turut menyaksikan sesi lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali di hadapan 450 warga kerja Kementerian Pertahanan, mewakili perkhidmatan awam serta perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia disusuli dengan sesi menandatangani ikrar oleh Lokman Hakim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan