EKONOMI

RSPO BANTU PEKEBUN KECIL PACU PENGELUARAN MINYAK SAWIT LESTARI

13/11/2024 07:41 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 13 Nov (Bernama) – Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti untuk menyokong pekebun kecil mengamalkan amalan mampan bagi menghasilkan Minyak Sawit Lestari Bertauliah (CSPO).

Pengarah Transformasi Pasaran RSPO Dr Inke Van Der Sluijs berkata organisasi itu melaksanakan program pembangunan kapasiti, termasuk inisiatif ‘melatih pelatih’ dan Akademi Pelatih Pekebun Kecil RSPO bagi memastikan mereka menerima sumber dan maklumat tepat.

“Kami mahu membantu pekebun kecil menerusi sokongan pengurusan berkesan, bagi membolehkan mereka melaksanakan amalan terbaik dengan akses lebih sesuai terhadap maklumat dan pasaran, yang merupakan satu perkara penting,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Meja Bulat Tahunan RSPO (RT2024)  yang sedang berlangsung di Bangkok.

Beliau berkata RSPO menyokong pematuhan lebih baik dalam kalangan pekebun kecil, menekankan amalan pengeluaran mampan sebagai sebahagian daripada peralihan global menuju ke arah pertanian yang berdaya tahan terhadap iklim.

Ahli RSPO bakal mengundi untuk menerima pakai Piawaian RSPO 2024, yang bertujuan meningkatkan kejelasan, kebolehauditan dan penjajaran sesuai dengan rangka kerja kemampanan global.

Piawaian yang sudah dikemas kini itu mengutamakan kebolehkesanan dan mencegah penebangan hutan melalui pendekatan Nilai Pemuliharaan-Stok Karbon Tinggi (HCV-HCS).

“Jika undian memihak kepada piawaian baharu, ia akan diterima pakai dan ahli mempunyai tempoh setahun untuk melaksanakannya,” katanya.

Menurut Van Der Sluijs, walaupun prinsip utama masih dikekalkan, RSPO akan mengkaji semula pendekatan lebih baik supaya pekebun kecil dapat mencapai pematuhan penuh terhadap amalan mampan.

“Piawaian yang dikemas kini adalah lebih komprehensif, mudah diaudit, termasuk peluang yang jelas kepada pekebun kecil dan sangat sesuai kerana pekebun kecil menyumbang kira-kira 40 peratus kepada pasaran minyak sawit global,” katanya.

Pasaran global minyak sawit mampan semakin berkembang dan pensijilan RSPO meningkatkan permintaan dan penawaran terhadap produk yang diperakui RSPO.

Pada 2023, bekalan CSPO mencecah 16.1 juta tan, iaitu meningkat 4.3 peratus dalam pengeluaran tahun ke tahun.

Sementara, penggunaan CSPO menokok kepada 9.8 juta tan, iaitu peningkatkan 7.2 peratusan dalam penggunaan hiliran. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan