SUKAN

TEKNOLOGI AI CETUS REVOLUSI SUKAN

14/11/2024 01:55 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar dan Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Penggunaan teknologi AI dilihat bukan lagi satu pilihan sebaliknya menjadi satu kemestian agar sesebuah negara terus berdaya saing dan tidak ketinggalan dalam kepesatan arus transformasi digital.

AI yang dijana dengan kemampuan sistem komputer melaksanakan tugas kebiasaannya dilakukan oleh manusia dan bergantung kepada penggunaan algoritma untuk menganalisis ribuan data bagi menghasilkan kerja optimum.

Hal ini tidak terkecuali dalam bidang sukan dan ternyata penggunaan AI semakin meluas bukan sahaja pada peringkat pasukan malah pada peringkat atlet.

Pelari pecut wanita negara Zaidatul Husniah Zulkifli mengakui penggunaan jam tangan pintar (smart watch) banyak membantunya mengekalkan prestasi tatkala usianya kini menginjak 31 tahun.

Zaidatul yang mesra disapa Adeq berkata beliau banyak bergantung pada jam pintar jenama terkemuka dari China sejak tahun lepas bagi mengoptimumkan waktu rehat setiap kali menjalani latihan, baik di gimnasium mahupun di atas balapan.

Smart watch ini saya dapat hasil daripada ganjaran bawa pulang gangsa 4x100 meter (m) wanita pada Sukan Asia Hangzhou 2022, sejak itu saya memang gunakan peranti ini terutamanya pada sesi latihan.

“Memandangkan smart watch ini dapat membaca denyutan nadi, ia akan bagi notifikasi sekiranya ada perubahan dan sebagainya. Lebih menarik, smart watch ini akan beri amaran sekiranya saya duduk terlalu lama atau berdiri lama sebagai peringatan untuk sambung latihan,” katanya kepada Bernama.

Pemegang rekod kebangsaan 100m itu berkata peranti berkenaan juga memberikan panduan kepadanya dalam menggunakan waktu rehat secara optimum selepas menghabiskan larian mengikut jarak ditetapkan.

“Setiap kali saya berlari 150m contohnya, jam akan maklumkan berapa lama tempoh rehat diperlukan seperti lapan minit sebelum sambung latihan,” katanya.

Atlet dari Kedah itu menyifatkan jam tersebut sebagai peranti sukan terbaik pernah dimilikinya yang bukan sahaja membantu dari segi pengurusan masa malah mempunyai jangka hayat bateri selama enam hari berbanding peranti serupa jenama terkemuka lain yang hanya bertahan sehari.

Sementara itu, bekas ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengakui kemunculan peranti yang dikuasakan teknologi AI dalam landskap sukan dunia memudahkan tugas jurulatih membuat keputusan di dalam dan luar padang.

AI, katanya membantu memastikan segala keputusan yang dibuat bukan sahaja baik untuk seseorang pemain malah untuk keseluruhan pasukan.

Menurut Cheng Hoe antara peralatan yang pernah digunakannya adalah seperti ves Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) selain beberapa peranti lain bagi memantau prestasi, kondisi dan kecergasan pemain.

“Kalau 30 tahun dulu kalau kita nak tengok pemain itu penat kita bergantung kepada riak muka mereka tetapi sekarang kita boleh pantau tahap kecergasan dengan menggunakan penjejak GPS.

“Teknologi AI ini saya tidaklah pakai 100 peratus tetapi digunakan untuk mengumpul data pemain terutama sewaktu sesi latihan dan semasa hari perlawanan,” katanya. 

Menerusi data yang diperolehi, beliau juga mampu merencanakan sesi latihan yang lebih mantap sekali gus memastikan pasukan berada pada tahap terbaik.

“Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada AI semata-mata sebab ia hanya jadi panduan, yang tahu perkara sebenar ialah jurulatih itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, bekas pengendali skuad hoki lelaki kebangsaan A. Arul Selvaraj berkata teknologi bantuan video secara langsung ketika perlawanan membantunya menganalisis prestasi pemain di atas padang.

Bagaimanapun beliau tetap bergantung kepada sentuhan manusia yang memantau video tersebut bagi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar tepat dan membuahkan hasil.

“Dalam hoki (di Malaysia) saya tidak tahu sebanyak mana AI digunakan namun saya lebih banyak gunakan GPS serta sistem pemantauan kadar jantung," katanya.

Arul Selvaraj yang ketika ini menetap di Ireland mendedahkan terdapat kelab hoki di negara tersebut telah mula menggunakan teknologi AI yang lebih kehadapan berbanding yang ditawarkan di Malaysia.

Katanya, teknologi digunakan di Ireland menerusi rakaman video perlawanan tidak terhad pada mengesan kesilapan pemain malah turut menganalisis pergerakan bola.

Namun bekas ketua jurulatih pasukan hoki UniKL itu berkata penggunaan AI dalam hoki di peringkat antarabangsa tidak cukup maju jika dibandingkan dengan bola sepak sehingga difahamkan terdapat sebuah pasukan di Belgium memasang kamera di segenap pelusuk stadium bagi memantau pergerakan serta melakukan analisis secara langsung kepada pemain terlibat.

Mengakui manfaat AI, Arul Selvaraj senada dengan pandangan Cheng Hoe bahawa teknologi itu tidak boleh diikuti bulat-bulat kerana bagi mencapai impak positif, kebijaksanaan jurulatih serta kebolehan pemain menyesuaikan diri terhadap sebarang keputusan dibuat seperti pertukaran taktikal juga adalah penting.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan