AM

JELAJAH HAWANA BERI GAMBARAN JELAS DUNIA MEDIA, PELAJAR AKUI MANFAAT UNTUK MASA DEPAN

14/11/2024 07:05 PM

GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa bagi Zon Utara telah memberikan gambaran jelas atau ‘real picture’ kepada pelajar komunikasi dan media mengenai dunia kewartawanan, seiring dengan pola pelaporan media yang semakin berubah di negara ini.

Rata-rata mahasiswa yang menghadiri sesi perkongsian berkaitan panduan menghasilkan kandungan media yang berkesan dan kepentingan menyemak fakta bagi mendapatkan maklumat yang sahih itu mengakui bahawa Jelajah HAWANA memberikan pendedahan yang sangat berguna kepada mereka.

Pelajar komunikasi dari USM Shennaz Begum Mohamed Hassan, 21, berkata topik-topik pengisian program yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini merupakan sesuatu perkara yang baharu buat dirinya yang tidak pernah mengetahuinya.

"Melalui sesi Mobile Journalism (MoJo), kami (pelajar) berpeluang mendapat panduan dan tunjuk ajar dalam merakam visual yang menarik menggunakan telefon pintar daripada tenaga pengajar dari industri.

“Kalau pembelajaran dalam kelas, proses pengajarannya lebih kepada teori, manakala sesi hari ini lebih kepada tunjuk ajar terus oleh industri," katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri program berkenaan. 

Bagi pelajar komunikasi dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Siti Sarah Mohamed, 22, maklumat yang dikongsikan menerusi Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa bagi Zon Utara itu sangat berkesan, sekali gus membantu memberi pendedahan yang lebih mendalam mengenai bidang kewartawanan, media mahupun komunikasi, kerana ia diperolehi secara langsung daripada pihak industri media.

Siti Sarah berkata beliau mendapat maklumat-maklumat berguna seperti pengetahuan dalam MoJo dan semakan fakta dalam laporan berita, yang mampu dipraktikkan pada masa depan setelah mula menceburi kerjaya wartawan setelah mengenggam ijazah.

"Seperti yang kita tahu, industri media sentiasa berkembang dan pelajar juga perlu cepat mengadaptasi kepada perubahan industri kita, jadi saya rasa program begini sangat berguna untuk kami mengetahui lebih lanjut tentang pekerjaan pengamal media," katanya.

Sementara itu pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Dea Vanessa Mohamaad Rohaizan, 20, berkata beliau dan rakan-rakan yang menyertai program tersebut sangat mengagumi sesi MoJo yang sebelum ini tidak pernah diberi pendedahan.

"Perkongsian dalam MoJo memang benda baharu bagi saya dan hari ini saya banyak belajar mengenainya seperti bagaimana menghasilkan kandungan, mencari kandungan yang bermanfaat dalam menghasilkan berita, dan bagaimana untuk menyajikan sesuatu video kepada penonton dengan lebih menarik,” katanya.

Beliau juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) atas sumbangan set komputer berkeupayaan tinggi dan  televisyen pintar, yang menurutnya akan dapat membantu bagi pelajar pusat pengajian tersebut.

Lebih 500 pelajar dan pensyarah daripada USM, UUM dan UniMAP menyertai Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa bagi Zon Utara yang dianjurkan Sekretariat HAWANA menerusi Bernama dengan kerjasama Pusat Pengajian Komunikasi, USM.

Antara pengisian program ialah Kursus MoJo kendalian wartawan kanan Meja Digital Media Bernama Syed lylia Hariz Al-Qadri yang memberi pendedahan mengenai penggunaan peranti dan aplikasi terkini dalam pelaporan berita.

Seterusnya sesi semakan fakta dan laporan berita oleh Editor Mycheck Malaysia dan Unit Data Journalism Bernama Sakina Mohamed serta ceramah 'Klik Dengan Bijak' oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pulau Pinang.

Pada majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 menyampaikan sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar masing-masing kepada tiga universiti awam berkenaan.

Turut hadir Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj.

Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merangkumi enam zon yang terdiri daripada zon Sarawak, Sabah, Tengah, Utara, Timur dan Selatan, dengan destinasi berikutnya di Zon Selatan pada 4 Dis ini yang akan diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah, Melaka.

-- BERNAMA 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan