EKONOMI

TRINITY GROUP LANCAR TRINITY SENSORIA, PERKENAL SISTEM LIMA CIRI PERLINDUNGAN BAGI KONDOMINIUM

14/11/2024 09:04 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

 

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Pemaju hartanah Trinity Group Sdn Bhd melancarkan projek kediaman terbaharu, Trinity Sensoria, yang memperkenalkan sistem lima ciri perlindungan yang pertama di Malaysia bagi kondominium.

Pembangunan yang dijadualkan siap pada 2028 itu adalah usaha sama dengan pemaju hartanah yang berpangkalan di Singapura, Oxley Holdings Ltd.

Projek 29 tingkat dengan nilai pembangunan kasar (NPK) RM568 juta itu akan dibangunkan di kawasan pegangan bebas seluas 2.46 hektar dan mengetengahkan 737 unit kediaman, antara 1,008 hingga 2,591 kaki persegi.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Neoh Soo Keat berkata Trinity Sensoria dibina berasaskan kejayaan projek Trinity Wellnessa sebelum ini, sebuah pembangunan kejiranan dengan NPK RM315 juta yang mempelopori sistem tiga ciri perlindungan.

“Kami memahami rakyat Malaysia kini mempunyai kesedaran yang lebih mendalam mengenai kesejahteraan melangkaui aspek fizikal. Mereka juga menghargai kepentingan kesejahteraan mental dan sosial.

“Kami gembira untuk memperkenalkan Trinity Sensoria dan cadangan jualan yang unik, sistem lima ciri perlindungan yang pertama seumpamanya di Malaysia,” katanya di majlis pelancaran itu di sini, pada Khamis.

Trinity Sensoria yang terletak di Beverly Heights, utara Ampang, dengan hanya 10 kilometer pemanduan dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, menawarkan akses mudah ke lebuh raya utama termasuk Jalan Lingkaran Tengah 2, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang.

Kesambungan itu memudahkan penduduk mengakses kawasan seperti Setapak, Wangsa Maju, Melawati, Pandan Indah, Setiawangsa, dan Titiwangsa.

 

Sistem Lima Ciri Perlindungan

Sebagai poin jualan utama, sistem lima ciri perlindungan Sensoria mengambil pendekatan bersepadu terhadap keselamatan dan kesejahteraan penduduk dengan menggabungkan ciri seperti teknologi tanpa sentuh, reka bentuk berorientasikan kesejahteraan, kemudahan kesihatan fizikal, ruang kesejahteraan sosial dan kemudahan kesihatan mental.

Projek itu disasarkan kepada keluarga kelas pertengahan atas, profesional, pelabur, ibu bapa yang tidak lagi mempunyai anak yang tinggal bersama serta pembeli rumah kali pertama.

Sensoria diletakkan sebagai tawaran ‘nilai yang tiada tandingan' dalam pasaran masa kini, dengan harga bermula daripada RM608,000 bagi unit seluas 1,008 kaki persegi.

 

Program Jaminan Emas

Neoh berkata Trinity Sensoria akan menjadi antara pembangunan pertama yang memperoleh manfaat daripada Program Jaminan Emas baharu Trinity Group, yang dirangka untuk meningkatkan keyakinan pemilik rumah melalui faedah jaminan lanjutan.

Program itu termasuk tempoh liabiliti kecacatan selama 36 bulan, jaminan 10 tahun bagi kebocoran bumbung dan jaminan lima tahun untuk jubin pecah, mengatasi jaminan standard 24 bulan yang lazimnya ditawarkan oleh pemaju lain.

 

Pandangan Pembeli

Chan Cheng Wai, 35, keputusannya untuk membeli unit di Sensoria didorong oleh rekod prestasi Trinity Group yang baik dan penekanan terhadap mutu kerja berkualiti di hartanah kediaman syarikat itu.

“Saya suka reka bentuk keseluruhan, terutama ruang dapur kerana saya sering menerima tetamu di rumah saya. Selepas meninjau projek kediaman lain, saya paling yakin dengan Trinity Sensoria kerana projek ini memenuhi jangkaan saya,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Nur Afifah Hazirah Azmin, 35, yang bercadang menjadikan hartanah itu sebagai rumah keduanya, memuji lokasi Sensoria yang selesa untuk berulang-alik kerja dari Cyberjaya.

“Program Jaminan Emas adalah nilai hebat untuk pembeli seperti saya, kerana pemaju lain tidak menawarkan perkara ini. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan ciri, saiz dan kemudahannya,” katanya.

Layari laman web projek di https://sensoria.com.my untuk maklumat lanjut mengenai projek itu.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan