KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Jumlah wanita yang menjadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan menteri di Malaysia masih rendah, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil tindakan lebih tegas dan proaktif bagi memastikan wanita mendapat tempat sewajarnya terutama dalam politik negara.
“Dengan peningkatan penyertaan wanita dalam politik, Malaysia akan dapat menikmati kepimpinan yang lebih inklusif dan seimbang.
“Bagaimanapun, jika kita hendak menunggu cara dengan meletakkan wakil wanita sekurang-kurangnya 30 peratus dalam kepimpinan parti politik, proses ini dilihat agak perlahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum Political Participation in Malaysia: Towards Equal Acces for Women to Political Mandates in Parliament and State Assemblies yang berlangsung di Kedutaan Jerman di sini hari ini.
Turut hadir Duta Besar Jerman Ke Malaysia Dr Peter Blomeyer.
Teo juga berkata parti politik harus mengambil inisiatif meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita atau mewujudkan kerusi khas yang hanya boleh ditandingi oleh kaum hawa.
“Jika kita dapat melaksanakan pembaharuan elektoral, saya yakin kita dapat mencapai sasaran ini lebih cepat dan lebih efisien. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan ia boleh dicapai di negara ini," katanya sambil menambah langkah itu terbukti berjaya di beberapa negara lain.
-- BERNAMA