DUNIA

PAMERAN FOTO DIADAKAN DI GUANGZHOU RAI 50 TAHUN DIPLOMASI MALAYSIA-CHINA

15/11/2024 06:32 PM

JAKARTA, 15 Nov (Bernama) -- Pameran foto khas yang mempamerkan hubungan penting antara Malaysia dan China kini diadakan di Guangzhou, China bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. 

Berlangsung dari 13 Nov hingga 6 Dis di Perpustakaan Sun Yat Sen Guangdong, pameran itu dianjurkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou dengan kerjasama kerajaan tempatan wilayah Guangdong.

Majlis perasmian yang diadakan pada Jumaat dihadiri kira-kira 150 tetamu, termasuk pegawai kerajaan tempatan, diplomat dan pelajar, untuk meneroka hubungan budaya yang kaya antara kedua-dua negara.

Konsul Jeneral Suraya Pauzi berkata pameran foto itu memberi tumpuan kepada kehidupan seharian di Malaysia dan Guangzhou dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu koleksi gambar dari Malaysia dan koleksi gambar dari Guangzhou.

"Kami memilih 50 gambar untuk melambangkan setiap tahun hubungan diplomatik kami. Dua tema yang kita ada ialah 'Window into Multicultural Malaysia' dan 'Guangzhou Snapshots from the Lens of a Newcomer'," katanya dalam satu kenyataan.

Suraya menyatakan bahawa pameran itu berfungsi sebagai jambatan, memupuk persefahaman bersama melalui imej.

"Kami berharap gambar-gambar ini akan memperdalam hubungan rakyat antara Malaysia dan China, membantu kita lebih memahami antara satu sama lain," katanya pada majlis itu.

Pameran ini menampilkan karya-karya daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Agensi Foto Padu dan koleksi peribadi jurugambar profesional Malaysia.

Silat Malaysia, seni mempertahankan diri tradisional, dipersembahkan bersama persembahan Cina tempatan sebagai cara untuk berkongsi budaya masing-masing semasa majlis perasmian.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan