GOPENG, 15 Nov (Bernama) -- Dua lelaki dan seorang wanita ditemukan lemas di Sungai Kampar di sini selepas dibawa arus deras akibat hujan lebat ketika melakukan aktiviti 'water rafting’ petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata seorang mangsa lelaki dan wanita dinaikkan ke tebing sungai oleh orang awam di Rock Garden dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Seorang lagi mangsa ditemukan di River Bug Gopeng dan turut disahkan meninggal dunia. Difahamkan ketiga-tiga mangsa sedang mengikuti program team building yang diadakan di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sayani berkata terdapat 22 peserta daripada Jabatan Kerja Raya Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang dan Langkawi serta enam pemandu peserta yang turun ke sungai bermula pada 3.30 petang tadi.
Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.56 petang sebelum 10 anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi mangsa ditemukan iaitu di Jalan Kampung Pintu Padang Rock Garden Camping Gopeng dan River Park Gopeng.
“Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam hantaran di laman Facebook menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata berdasarkan maklumat awal yang diterima, mangsa yang meninggal dunia melibatkan dua peserta dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Langkawi dan seorang dari JKR Seberang Perai Tengah.
Nanta berkata beliau telah meminta pasukan kementerian dan JKR di negeri terlibat untuk memberi bantuan dan sokongan sewajarnya kepada ahli keluarga mangsa.
“Saya difahamkan ketiga-tiga mangsa dipercayai lemas akibat dihanyutkan kepala air ketika mengikuti aktiviti berakit arus deras di Sungai Kampar petang tadi,” katanya.
-- BERNAMA