KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) menerima lebih 200 laporan dan aduan berkaitan penyalahgunaan anugerah dan darjah kebesaran palsu dan yang tidak diiktiraf sejak dua tahun lepas.
Presiden MDDM Datuk Awalan Abdul Aziz berkata kebanyakan aduan yang diterima membabitkan individu yang menyalahgunakan gelaran bagi tujuan mendapatkan peluang perniagaan atau mendakwa diri memiliki gelaran tertentu dengan tujuan mendapatkan pengiktirafan masyarakat.
“Adakalanya individu ini meletakkan gelaran tertentu pada kad nama mereka dan adakalanya mereka menerima gelaran daripada pihak tidak diiktiraf di negara kita. Mereka berbuat demikian untuk meyakinkan orang ramai bahawa dia mempunyai status yang berbeza,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sehubungan itu beliau berharap agar kerajaan segera mempertimbangkan kertas cadangan penambahbaikan dan pindaan Akta 787 (Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah) yang telah dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Peguam Negara sebelum ini.
Beliau berkata kertas cadangan itu bagi memperkasakan aspek keberkesanan dan penguatkuasaan akta berkenaan termasuk cadangan meningkatkan denda dan hukuman bagi kesalahan-kesalahan tertentu di bawah Akta 787 sebagai langkah pencegahan kepada penyalahgunaan darjah kebesaran dan gelaran.
Awalan seterusnya berkata langkah itu juga akan memungkinkan kes-kes pendakwaan boleh dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi.
Cadangan lain mengikutnya adalah memasukkan seksyen baharu berkaitan dengan kuasa menyiasat oleh pihak polis bagi memberi kejelasan untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tertentu dengan lebih berkesan.
“Kertas cadangan itu juga melibatkan kejelasan kepada interpretasi bagi akta berkenaan, iaitu penjelasan dari segi liputan Akta 787 ini bagi memastikan ia merangkumi dan meliputi semua darjah kebesaran yang dianugerahkan oleh ketua-ketua negara di Malaysia.
“Ia termasuk anugerah yang dikurniakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja-Raja serta Yang Dipertua Negeri-Negeri seluruh Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MDDM telah menjalinkan kerjasama dengan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara bagi tujuan menguatkan dan menggalakkan aktiviti dalam bidang akademik dan penyelidikan berkaitan dengan pemerkasaan institusi Raja-Raja Melayu.
-- BERNAMA