EKONOMI

BANK MUAMALAT JALIN KERJASAMA PERLUASKAN INISIATIF KEWANGAN SOSIAL 

16/11/2024 09:24 PM

KUCHING, 16 Nov (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad memperluaskan inisiatif kewangan sosialnya melalui beberapa kerjasama yang dimeterai di Karnival Celik Kewangan (KCK) 2024 yang sedang berlangsung di sini sehingga Ahad ini.

Menurut kenyataan Bank Muamalat hari ini, langkah itu sejajar dengan seruan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjadikan kewangan Islam sebagai peneraju kewangan sosial.

Dalam karnival berkenaan, bank itu telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak untuk menjalin kerjasama holistik melalui inisiatif iTEKAD.

Di bawah kerjasama itu, komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Sarawak akan diperkasakan untuk menjana pendapatan sendiri dan ahli-ahli persatuan itu yang layak akan mendapat bantuan pembiayaan mikro, latihan berstruktur, berserta modal permulaan. 

“Selain itu, mereka akan menerima latihan pengurusan kewangan, operasi, pemasaran digital dan etika-etika perniagaan,” kata kenyataan berkenaan. 

Bank Muamalat menerusi kerjasama itu turut menyokong kerangka Layanan Adil terhadap Pengguna Kewangan (FTFC) yang dikeluarkan oleh BNM bertujuan mewujudkan sistem kewangan lebih inklusif yang melindungi kepentingan semua pengguna, terutamanya golongan rentan. 

Sementara itu, pertukaran Perjanjian Kerjasama (CA) antara Bank Muamalat dengan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) juga diadakan bertujuan membantu golongan memerlukan bagi mendapatkan pendidikan, penjagaan kesihatan dan sokongan ekonomi melalui inisiatif portal pendanaan awam, Jariah Fund. 

Bank Muamalat dan PruBSN juga sedang menerokai peluang kerjasama dalam inisiatif iTEKAD, melalui perlindungan takaful kepada usahawan-usahawan yang terpilih. 

Bank Muamalat juga turut mengadakan Majlis Graduasi Peserta Program Pensijilan Halal Bank Muamalat di karnival itu untuk usahawan yang menjalani bimbingan dan latihan percuma daripada bank itu sehingga berjaya memperolehi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). 

Seramai empat orang usahawan menerima sijil graduasi dalam majlis tersebut yang mana dua daripada mereka merupakan usahawan di bawah inisiatif iTEKAD Bank Muamalat manakala dua lagi merupakan pelanggan Bank Muamalat. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata kewangan sosial memainkan peranan penting dalam landskap kewangan Malaysia dan bank itu terus komited untuk memacu pertumbuhan inisiatif berkenaan. 

“Dengan kerjasama holistik melalui inisiatif kewangan sosial seperti iTEKAD, Jariah Fund dan program pensijilan halal, Bank Muamalat berharap impak kewangan sosial dapat dimaksimumkan dan golongan sasar akan mendapat manfaat dalam usaha kita mencipta Kehidupan Lebih Baik, Bersama,” katanya. 

Maklumat lanjut mengenai iTEKAD, Jariah Fund dan Program Pensijilan Halal Bank Muamalat boleh diperoleh di www.muamalat.com.my atau di mana-mana cawangan Bank Muamalat terdekat. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan