SHAH ALAM, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor telah mengemukakan cadangan supaya Kerajaan Persekutuan menggunakan lima peratus daripada dana rizab persekutuan untuk diberikan kepada kesemua negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata jika diluluskan, perkara yang masih dalam pertimbangan Kerajaan Persekutuan itu akan menjadi satu lonjakan yang amat besar kepada sumbangan peruntukan terhadap kerajaan negeri.
"Saya telah kemukakan agar lima peratus daripada sumbangan dana rizab kerajaan pusat boleh diberikan kepada semua negeri termasuk Selangor, dan kalau lima peratus kita perolehi, ia merupakan satu lonjakan yang besar terhadap sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Izuan Ahmad Kassin (PH-Kota Damansara) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan pendapatan daripada Kerajaan Persekutuan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor sini hari ini.
Amirudin berkata pihaknya juga telah mengemukakan permohonan peruntukan tambahan kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Selangor yang lazimnya memerlukan sumbangan yang besar bagi memberi impak kepada penerimanya.
"... SME ini keperluan peruntukannya lebih besar dan peruntukan yang lebih besar ini tidak mampu dilakukan kerajaan negeri kerana sumbangannya perlu sekurang-kurangnya RM200,000 atau RM300,000 sehingga RM1 juta baru memberi makna yang lebih kepada SME.
"Walaupun begitu, bagi perniagaan yang telah berdaya saing, kebanyakkannya memerlukan fasiliti bukan kewangan dan hanya memerlukan kemudahan-kemudahan tertentu, itu kerajaan negeri boleh sediakan menerusi dasar yang dirangka," katanya.
-- BERNAMA