ALOR SETAR, 21 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah gudang yang disyaki menjual jam tangan berjenama tiruan, di sini hari ini.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan di gudang yang beroperasi tanpa sebarang papan tanda perniagaan itu dilakukan bersama wakil pemilik cap dagangan berdaftar pada pukul 11.30 pagi tadi.
“Tindakan adalah berdasarkan aduan dan hasil risikan yang telah dijalankan sejak awal November di sekitar Alor Setar. Serbuan melibatkan seramai tujuh anggota Pegawai Penguat Kuasa KPDN Alor Setar bersama dua orang pegawai wakil pemilik cap dagangan berdaftar.
“Hasil serbuan mendapati seorang lelaki iaitu pemilik perniagaan dalam lingkungan umur 42 tahun bersama-sama empat orang pekerja bergiat aktif menjual jam tangan tiruan berjenama secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 493 unit jam tangan pelbagai model berjenama dan 1,800 unit kotak jam tangan telah disahkan tiruan oleh wakil pemilik cap dagangan dan disita bagi siasatan lanjut.
“Nilai rampasan keseluruhan adalah dianggarkan sebanyak RM12,070 dan kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.
Tambah beliau, KPDN memberi amaran kepada peniaga agar tidak menjual atau menawarkan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
-- BERNAMA