EKONOMI

MATRADE, VIETRADE PERKUKUH GALAKAN PERDAGANGAN DUA HALA

22/11/2024 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Agensi Penggalakan Perdagangan Vietnam (Vietrade) telah mengambil langkah penting ke arah mengukuhkan hubungan ekonomi dengan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) semalam.

Menurut Matrade, MoU itu merupakan pencapaian penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Vietnam, menyediakan rangka kerja strategik untuk menggalakkan perdagangan dan kerjasama ekonomi.

“Dengan menggabungkan kekuatan Matrade dan Vietrade, kerjasama ini bertujuan mewujudkan peluang baharu perniagaan, meningkatkan daya tahan ekonomi dan memacu pertumbuhan perdagangan dua hala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Matrade bertukar MoU dengan Vietrade di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Matrade diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mansor Shah manakala Vietrade diwakili Ketua Pengarahnya, Vu Ba Phu.

Katanya kerjasama dengan Vietrade akan merangkumi menganjurkan aktiviti promosi perdagangan bersama seperti pameran perdagangan, seminar dan misi perdagangan serta memudah cara lawatan pertukaran untuk memacu hubungan secara langsung.

“Kerjasama ini turut menekankan pembinaan keupayaan bagi meningkatkan daya saing perusahaan termasuk komitmen untuk mempromosikan industri halal menerusi pelbagai acara anjuran bersama,” katanya.

Antara bidang kerjasama ialah pertukaran maklumat pasaran untuk memberi manfaat kepada komuniti perniagaan kedua-dua negara.

Matrade berkata kerjasama itu melambangkan kepercayaan dan perkongsian visi antara Malaysia dan Vietnam, selaras dengan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong pertumbuhan perdagangan antara negara-negara ASEAN.

Selain itu, katanya perdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam berada pada hala tuju yang positif.

“Jumlah perdagangan dari Januari hingga Oktober lepas meningkat 8.4 peratus kepada RM70.70 bilion berbanding RM65.23 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Jumlah eksport Malaysia ke Vietnam naik 10.1 peratus kepada RM46.28 bilion manakala import dari Vietnam melonjak 5.3 peratus kepada RM24.42 bilion,” katanya.

Menurut Matrade, Vietnam kekal sebagai rakan dagangan utama Malaysia, menduduki tempat ke-10 sebagai rakan dagangan terbesar, selain destinasi eksport kelapan terbesar dan sumber import ke-13 terbesar.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan