EKONOMI

NEGERI SEMBILAN BENTANG BELANJAWAN BERIMBANG 2025 RM590 JUTA --AMINUDDIN

22/11/2024 06:39 PM

SEREMBAN, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2025 yang berimbang berjumlah RM590 juta dengan anggaran hasil pada jumlah yang sama dan perbelanjaan pembangunan mencecah RM135 juta.

Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun ketika membentangkan belanjawan itu yang bertemakan ‘Bersama Membina Negeri MADANI’ berkata fokus belanjawan adalah kepada sembilan teras dalam bidang tumpuan iaitu merangkumi kemampuan ekonomi rakyat, keterjaminan makanan dan pendidikan.

Teras berikutnya, pemerkasaan komuniti; kerohanian agama; pemerkasaan wanita belia dan sukan; adat dan budaya; kelestarian alam sekitar; kebajikan serta kesihatan.

“Belanjawan 2025 dicadangkan ini merupakan belanjawan berimbang. Anggaran hasil dijangka diperoleh sebanyak 590 juta iaitu meningkat sebanyak RM70 juta atau 13.46 peratus berbanding RM520 juta pada tahun ini.

“Terdapat 23 inisiatif baharu diperkenalkan manakala 43 inisiatif sedia ada dikekalkan menjadikan keseluruhan 66 inisiatif berjumlah RM96.2 juta,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di sini hari ini.

Beliau berkata kutipan hasil cukai dijangka sebanyak RM159.35 juta berbanding RM160 juta pada tahun ini manakala terimaan bukan hasil dijangka meningkat RM66.08 juta berbanding RM59.75 juta tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu berkata hasil bukan cukai terus menjadi penyumbang utama dengan anggaran RM364.57 juta iaitu peningkatan RM64.3 juta berbanding RM300.24 juta, tahun ini.

Menurutnya bagi tahun depan, sebanyak 250 projek dipertimbangkan untuk pembangunan melibatkan 207 projek baharu dan 43 projek sambungan atau projek sedia ada.

Aminuddin berkata kerajaan negeri turut memberikan tumpuan kepada masalah banjir kilat yang kerap kali berlaku dalam ketidaktentuan cuaca semasa dengan peruntukan RM10.65 juta bagi projek rancangan tebatan banjir, pengurusan dan penyelenggaraan sungai serta pengurusan saliran zon pantai di  beberapa lokasi dikenal pasti.

“Bagi memastikan kestabilan bekalan makanan untuk rakyat, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM14.6 juta bagi sektor pertanian dan penternakan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM11.0 juta disalurkan untuk program jaminan bekalan makanan, meliputi peningkatan hasil sayuran dan buah-buahan, penyediaan input pertanian, mekanisasi, automasi pertanian serta pengembangan teknologi pertanian melalui internet pelbagai benda (IOT),” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan khas kewangan dua bulan gaji kepada kira-kira 6,613 penjawat awam di negeri itu yang akan dibayar dua kali iaitu pada hujung Januari dan pada Mac, menjelang Hari Raya Aidilfitri. 

Aminuddin berkata, beliau berharap bantuan khas kewangan itu dapat menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih dan turut dinasihatkan melakukan penambahbaikan dalam perkhidmatan selain empati dalam melaksanakan tugas harian.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang bermula hari ini hingga 28 Nov ini bersambung Isnin depan.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan