AM

RM10 UNTUK DAPATKAN SALINAN SIJIL SPM DI PROGRAM 2TM

22/11/2024 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Buat julung kalinya orang ramai boleh mendapatkan salinan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hilang atau gantian sijil pada kadar RM10 di Program Dua Tahun MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini. 

Kakitangan MyStep Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Muhammad Zairil Aiman Yusri berkata harga asal bagi penggantian sijil peperiksaan itu ialah RM30 dan 'kadar istimewa' itu hanya berlangsung hingga hari terakhir program pada Ahad ini. 

"Mereka yang menduduki SPM pada 1994 ke atas layak menikmati tawaran ini dengan hadir terus (walk-in) ke kaunter perkhidmatan KPM di program 2TM bagi mendapatkan sijil SPM dengan hanya mengemukakan kad pengenalan. 

"Selain itu, penggantian sijil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga boleh dilakukan namun pada harga asal RM30," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Muhammad Zairil Aiman berkata untuk hari ini, pihaknya menerima sambutan memberangsangkan dan rata-rata pengunjung menyatakan teruja apabila melihat perkhidmatan itu ditawarkan di reruai KPM menerusi bahan promosi yang dipamer di situ. 

Pengunjung Megat Rafizi Megat Rozi, 32, dari Cheras berkata beliau tidak pernah terfikir untuk mendapatkan sijil baharu bagi menggantikan sijil asal yang 'tidak begitu cantik' selepas 15 tahun menduduki peperiksaan utama sistem pendidikan negara itu. 

"Sebelum ini saya tak pernah tahu ada perkhidmatan untuk menukar sijil SPM seperti ini, rugi jika peluang dilepaskan kerana sekurang-kurangnya sijil baharu lebih elok dan jelas...selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan menyimpannya dengan baik supaya kekal elok untuk jangka masa lama," katanya. 

Nur Muhammad Zanini, 30, pula berkata mahu datang semula ke program itu esok atau lusa bagi menggantikan sijil SPM yang hilang kerana agak lewat mengetahui perkhidmatan tersebut dan hari ini hanya berkesempatan ke pusat konvensyen itu pada sebelah petang.

"Sijil itu hilang beberapa tahun lepas semasa berpindah...sebelum ini rasa tidak begitu penting untuk menggantikannya kerana tiada keperluan dan telah bekerja tapi alang-alang sudah ada di sini (untuk mendapatkan gantian) sayang pula jika tidak dibuat untuk dijadikan kenangan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan