Baru dua tahun menerajui negara, Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin dianggap masih “hijau”, namun beberapa perubahan dan pembaharuan sudah dilihat terutama dari segi politik, ekonomi dan sosial negara.
Dilihat memberi nafas baharu kepada tadbir urus Malaysia dengan memperkukuh prinsip keadilan, kesaksamaan dan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan yang inklusif dan progresif, beberapa pakar menyifatkan prestasi Kerajaan MADANI dalam usia setahun jagung ini sebagai memberangsangkan.
Memetik rasuah sebagai contoh, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata kerajaan pimpinan Anwar memberi fokus utama kepada isu itu dan hasilnya sudah dapat disaksikan menerusi siri tangkapan dan pendakwaan termasuk yang melibatkan kes berprofil tinggi.
“Tanpa mengira golongan atasan, penjawat awam ataupun orang biasa, jika siasatan dapati mereka terlibat, akan dibawa ke muka pengadilan tanpa ada dwistandard. Apabila kerajaan serius menangani gejala rasuah, kita dapati ada peningkatan dari segi tangkapan mereka yang terlibat, termasuk dalam kalangan penjawat awam.
“Selagi rasuah menjadi amalan dan budaya, tidak kiralah dalam perkhidmatan awam mahupun swasta, selagi itulah akan berlaku isu ketirisan, pembaziran dan seterusnya membawa kerugian kepada masyarakat dan negara,” kata penganalisis politik itu kepada Bernama baru-baru ini.
INDEKS PERSEPSI RASUAH
Ahmad Martadha yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia, berkata usaha memerangi rasuah bukan sekadar meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, bahkan mampu menarik dan meyakinkan pelabur asing ke negara ini.
Kedudukan Malaysia yang semakin baik dalam ranking rasuah global dijadikan sebagai kayu ukur untuk pelabur asing dan negara luar datang membuat pelaburan di Malaysia, katanya.
pic-2
Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 yang diumumkan oleh Transparency International Malaysia pada Januari lepas, negara mencapai 50 mata pada 2023 berbanding 47 mata tahun sebelumnya.
Peningkatan itu membantu Malaysia berada di kedudukan 57 dalam CPI bagi 2023 berbanding 61 pada 2022.
Kerajaan MADANI antara lain memutuskan proses pemilihan bagi mengisi kekosongan jawatan Hakim Besar Malaya diletakkan di bawah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), sekali gus dilihat mampu menutup ruang terhadap kritikan bahawa badan eksekutif campur tangan dalam pelantikan berkenaan.
Berpendapat pengurangan lantikan ahli politik dalam agensi serta lembaga kerajaan dan bukan kerajaan sebagai antara penambahbaikan ketara dilakukan oleh Kerajaan MADANI, Ahmad Martadha berkata langkah itu secara langsung meningkatkan ketelusan tadbir urus dan mengurangkan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran.
Turut menyentuh pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan berkuat kuasa Disember ini, beliau berkata pelaksanaan sistem itu bukan saja melibatkan pelarasan gaji penjawat awam yang lama tertunggak sebelum ini, tetapi lebih penting memastikan produktiviti kakitangan kerajaan dipertingkat dan yang bermasalah pula diambil tindakan lebih tegas.
“Kerajaan MADANI antara lain turut menyediakan pelbagai bantuan bagi menangani kos sara hidup rakyat, di samping pemberian subsidi lebih bersasar bagi memastikan hanya kumpulan yang benar-benar layak, khususnya daripada kelompok B40, sebagai penerima manfaat.
“Kerajaan juga mula mendengar suara kumpulan M40 yang selama ini ‘tersepit’ dan sering kali tercicir daripada menerima insentif, sedangkan mereka yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru terutamanya, turut terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
“Kerajaan turut mengambil langkah mengkaji semula takrifan bagi T15 selepas berpandangan jumlah (pendapatan isi rumah) yang ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi golongan itu ketika ini, iaitu kira-kira RM13,000, terlalu rendah,” katanya.
PERTAHAN KESTABILAN POLITIK
Berpendapat mempertahankan kestabilan politik negara menjadi cabaran utama Kerajaan MADANI, Ahmad Martadha berkata perkara itu boleh memberi kesan terhadap keyakinan pelabur asing, sekali gus menjejaskan pengukuhan ekonomi negara sekiranya gagal dipelihara.
pic-3
Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu terus menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta memastikan agenda yang ingin diperkenalkan mendapat sokongan majoriti masyarakat.
“Kerajaan antara lain perlu meningkatkan peluang pekerjaan dengan memberi perhatian terhadap isu pengangguran dalam kalangan generasi muda, terutama siswazah yang masih tidak mendapat kerja atau bekerja bukan berdasarkan kelayakan mereka, agar negara tidak mengalami kerugian dari segi penggunaan sumber manusia
“Selain itu, aspek keselamatan perlu diperkukuh seiring dengan peningkatan laporan kes jenayah kebelakangan ini yang menimbulkan ketakutan dan keresahan rakyat. Kebejatan sosial yang berlaku, terutama kebanjiran pendatang tanpa izin yang terlibat dengan aktiviti jenayah, turut menjadi ancaman kepada rakyat dan negara,” katanya.
KESELAMATAN SIBER DIPERTINGKAT
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata Kerajaan MADANI giat melaksanakan penambahbaikan bagi mendepani isu keselamatan siber negara, antaranya meluluskan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi memperkukuh perlindungan data peribadi rakyat Malaysia.
Di samping itu, program Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2024 yang diterajui oleh CyberSecurity Malaysia dan didukung badan bukan kerajaan (NGO) MCCA serta Yayasan Digital Malaysia, turut dijalankan di beberapa negeri seperti Johor dan Kedah, bagi meningkatkan kesedaran awam berhubung penipuan dalam talian dan langkah-langkah pencegahan.
pic-4
“Kerajaan turut menggubal Akta Keselamatan Siber 2024 di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
“Akta ini yang mula dikuatkuasakan pada 26 Ogos lepas, bertujuan meningkatkan tahap keselamatan siber negara dengan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara dan mengawal selia pemberi perkhidmatan keselamatan siber melalui pelesenan, serta bakal meletakkan tanggungjawab kepada ketua-ketua sektor yang telah dilantik untuk mempertingkat tadbir urus keselamatan siber negara,” katanya.
Menyifatkan serangan siber yang semakin kompleks dan kerap berlaku menuntut kerajaan untuk sentiasa mengemas kini strategi dan teknologi keselamatan dari semasa ke semasa, Siraj berkata perbincangan merentasi pihak kerajaan, swasta, media, NGO dan orang awam perlu sentiasa dilakukan bagi membentuk persekitaran keselamatan siber yang baik.
Memetik laporan MyCERT, beliau berkata terdapat peningkatan sebanyak 13 peratus dalam insiden keselamatan siber yang dilaporkan pada suku pertama 2023 berbanding suku keempat 2022, dengan insiden berjumlah 1,307 kes.
“Bagi ancaman serangan siber pula, firma keselamatan siber global Kaspersky melaporkan pada 2023, sistem pengesanannya telah menyekat sebanyak 26.85 juta serangan ‘bawaan Internet’ di Malaysia, mewakili 74,000 serangan setiap hari.
“Wujud keperluan untuk meningkatkan bilangan pakar keselamatan siber tempatan melalui program latihan dan kerjasama dengan institusi pendidikan dan pemain industri secara lebih proaktif. Kesedaran awam yang masih rendah, ditambah segmen masyarakat yang kurang peka terhadap risiko siber, memerlukan kempen kesedaran yang lebih agresif,” katanya.
Tambah Siraj, pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Akta Keselamatan Siber, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian dan keputusan kerajaan untuk kekal dengan pendirian menerima guna kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet berkuat kuasa 1 Jan depan, mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menjamin keselamatan siber negara.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini menegaskan RUU Keselamatan Dalam Talian sebagai langkah menutup kelompangan undang-undang atau lacuna in the law, kerana tiada takrifan tepat bagi jenayah buli termasuk buli siber di dalam negara, selain prinsip kerajaan berhubung kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial kekal bagi mengatasi pelbagai permasalahan dalam Internet, antaranya isu buli siber.
DASAR TVET NEGARA 2030
Turut berkongsi pandangan, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) Mohammad Rizan Hassan yang berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia secara umumnya mengalami pertumbuhan positif dalam tempoh dua tahun ini.
pic-5
Beliau berkata komitmen Kerajaan MADANI untuk meningkatkan pembangunan kemahiran dan mempromosikan pendidikan vokasional telah membawa kepada pencapaian ketara sektor berkenaan.
“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara komited dalam melakar landskap TVET bagi melahirkan bakat tempatan berdaya saing, seterusnya meningkatkan status dan kualiti program TVET.
“Pada Jun lepas, perdana menteri telah melancarkan Dasar TVET Negara 2030 bagi menyelaraskan TVET dengan permintaan industri, meningkatkan kurikulum untuk memenuhi keperluan pasaran semasa dan meningkatkan kualiti pengajaran dan latihan.
“Kerjasama dengan rakan kongsi industri telah menyediakan pelajar dengan pengalaman dunia sebenar yang berkaitan, memastikan mereka dilengkapi (ilmu) dengan baik untuk pasaran pekerjaan. Selain itu, penekanan pada kemahiran praktikal dan latihan amali telah meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET, membawa kepada permintaan lebih tinggi untuk pekerja mahir dalam pelbagai sektor,” katanya.
Mohammad Rizan berkata masa depan TVET di Malaysia disifatkan “menjanjikan” (berpotensi), seiring dengan usaha berterusan untuk meningkatkan pembangunan kemahiran dan memenuhi keperluan industri.
Mengulas laporan baru-baru ini berhubung Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan elemen TVET bermula Tahun Satu di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027, beliau berkata langkah itu merupakan pendekatan strategik bagi menyemai minat dalam bidang vokasional berkemahiran tinggi sejak peringkat awal.
“TVET merangkumi pelbagai program pendidikan yang melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal, pengetahuan dan sikap yang penting untuk pelbagai industri dan pekerjaan.
“Di peringkat sekolah rendah, latihan TVET perlu direka untuk memperkenalkan pelajar kepada konsep asas vokasional dan pengalaman praktikal bagi menyemarakkan minat mereka dalam bidang khusus. Latihan ini menyediakan platform buat pelajar meneroka bakat mereka, membangunkan kemahiran berfikir secara kritis dan mendapat pendedahan kepada laluan kerjaya yang berpotensi.
“Memperkenalkan TVET pada usia muda membantu pembangunan kemahiran praktikal pelajar melalui aktiviti dan projek amali yang berkaitan dengan bidang vokasional berkemahiran tinggi seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, seni kulinari dan teknologi automotif,” katanya, menambah latihan TVET membolehkan pelajar meneroka pelbagai pilihan kerjaya serta memperkasa mereka membuat keputusan berhubung laluan pendidikan dan kerjaya.
pic-6
Beliau pada masa sama berkata pengumuman Ahmad Zahid untuk menubuhkan Malaysia-China Institute (MCI) tepat pada masanya, atas dasar China merupakan kuasa TVET termaju di dunia.
“Hingga hari ini, Malaysia-China Youth TVET Training yang digerakkan oleh Belia Mahir telah menghantar seramai 1,776 orang bakat TVET ke China untuk mendalami ilmu latihan pelbagai bidang.
“China telah mencapai kemajuan yang ketara dalam TVET, dan kita meletakkan mereka sebagai peneraju global dalam membangunkan individu berbakat untuk pelbagai industri. Kejayaan China dalam memupuk profesional mahir boleh dikaitkan dengan pelbagai pendekatan dan strategi yang dilaksanakan,” katanya.
Bersempena dengan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024, kerajaan telah menyediakan inisiatif untuk mempamerkan testimoni dan pencapaian kementerian dan agensi bagi dikongsikan dengan rakyat.
Program yang berlangsung dari 22 hingga 24 Nov di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu dirasmikan oleh perdana menteri pada Sabtu (23 Nov).