AM

PPJ ANJUR PIPR EDISI KE-33 BINA KOMUNITI SIHAT

24/11/2024 12:46 PM

PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama -- Perbadanan Putrajaya (PPj) sekali lagi menganjurkan Inter-Park Ride (PIPR) hari ini, bertujuan menyatukan peminat sukan berbasikal bagi mengamalkan gaya hidup sihat sambil merasai keindahan alam sekitar.

Presiden PPj Datuk Fadlun Mak Ujud berkata PIPR yang pertama kali diperkenalkan pada 30 Mei 2010 kini telah menjangkaui penganjuran kali ke-33, membuktikan ia kekal acara yang dinantikan ramai.

"Sambutan orang ramai amat menggalakkan, dianggarkan lebih 800 peserta telah mendaftar bagi penganjuran edisi kali ini.

"Dengan laluan kayuhan yang selamat, peserta PIPR dapat menikmati suasana landskap taman awam yang memukau serta kekayaan flora dan fauna sepanjang laluan sejauh 25 kilometer," katanya dalam kenyataan bersempena program PIPR edisi ke-33.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa turut serta melepaskan peserta PIPR yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.

Menurut Fadlun, PIPR bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah membuka peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman mereka di media sosial. “Mereka menjadi duta kecil dalam memperkenalkan Putrajaya ke peringkat global, dengan mempromosikan lokasi rekreasi serta budaya tempatan,” tambahnya.

Penganjuran PIPR mencerminkan komitmen PPj dalam menggalakkan komuniti mengamalkan gaya hidup sihat di samping menjadikan Putrajaya sebagai bandar mampan yang menyokong kesejahteraan fizikal dan mental penduduknya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan