AM

2TM: ‘SIMULATOR KIMPALAN’ JADI TUMPUAN, BELIA TEROKA KERJAYA DALAM TVET

24/11/2024 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Pada hari terakhir Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di sini, orang ramai berpeluang merasai pengalaman sebagai ‘jurukimpal’ ketika mencuba simulasi kimpalan yang disediakan di reruai Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Simulator kimpalan yang menjadi tumpuan pengunjung ini merupakan satu daripada aktiviti menarik dalam program tiga hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula Jumaat lepas.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Tenaga Manusia, Rostam Hamzan  berkata aktiviti ini bertujuan memberi pengunjung peluang merasai pengalaman dunia pekerjaan sebagai jurukimpal atau ‘welder’.

“Simulasi ini meniru sepenuhnya proses kerja kimpalan, termasuk penggunaan uniform yang sesuai. Namun, ia menggunakan teknologi tanpa bahan api dan tidak membahayakan.

"Pengunjung boleh menilai hasil kerja kimpalan mereka sama ada ia berjaya atau tidak, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pekerjaan ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata masyarakat perlu diberi kesedaran bahawa pekerjaan dalam bidang kemahiran menawarkan peluang besar selain berpotensi menjana pendapatan lumayan.

Selain aktiviti simulator kimpalan, pihaknya juga memberi peluang kepada belia untuk membuat permohonan ke Institut Kemahiran di bawah KESUMA.

“Di reruai kami juga menyediakan perkhidmatan ‘reskilling dan upskilling’ untuk pekerja. Ibu bapa turut hadir untuk memahami laluan potensi pendidikan yang boleh diambil anak-anak mereka.

“Sambutan 2TM memang menakjubkn, dengan pengunjung bukan sahaja berkunjung ke reruai KESUMA, tetapi seluruh reruai kerajaan,” katanya menambah, aktiviti lain di reruai itu adalah aktiviti augmented reality (AR) dan pencetakan tiga dimensi.

Seorang pengunjung dari Setapak, Amir Syafuan Hamzah, 19 berkata beliau teruja mencuba simulasi kimpalan selain didedahkan dengan kelebihan mengambil bidang TVET.

“Bidang kimpalan ini menarik dan saya difahamkan ia mampu menjana peluang pendapatan yang tinggi. TVET sebenarnya buka ruang besar untuk belia,” katanya.

Sazali Ismail, 44, dari Shah Alam pula berkata TVET kini tidak boleh dipandang rendah kerana ia menjanjikan peluang kerjaya di peringkat tinggi.

“Ada yang bekerja sebagai jurukimpal dan memperoleh gaji yang tinggi. Oleh itu, informasi yang diperoleh di reruai KESUMA ini membantu belia buat pilihan kerjaya dan pendidikan mereka,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan