KOTA BHARU, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menjangkakan penambahan jumlah Loji Rawatan Air (LRA) kepada 58 menjelang tahun 2028 akan menyelesaikan masalah bekalan air di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan Datuk Dr Izani Husin berkata setakat ini hanya terdapat 43 LRA yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air bagi seluruh rakyat Kelantan.
"Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap masalah bekalan air ini, dan dengan penambahan 11 LRA lagi yang bakal dilengkapi dengan enap cemar, diharap dapat mencukupi keperluan menjelang tahun 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) mengenai perkembangan proses baik pulih sumber air bersih Air Kelantan Sdn Bhd untuk kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.
Izani berkata bagi kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas, kerajaan negeri sedang berusaha membina Loji Rawatan Air (LRA) Kelar 2 di daerah tersebut, yang dijangka siap pada 2028. LRA ini akan mempunyai kapasiti 2.5 juta liter sehari, jauh lebih tinggi berbanding bekalan semasa yang hanya 1.35 juta liter sehari.
"Projek ini telah diluluskan, namun apabila tender dibuka, kosnya melebihi anggaran asal. Oleh itu, kita menjangkakan tender ini akan selesai pada Disember depan," katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Mohamad Nasriff Daud (PAS-Pengkalan Pasir), beliau berkata kerajaan negeri tidak akan meletakkan lori tangki air di kawasan terjejas bekalan air untuk jangka masa panjang kerana penghantaran air menggunakan lori tangki diberikan secara percuma kepada rakyat, dan kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
"Jika kaedah ini berterusan, ia akan merugikan kerajaan negeri. Namun, kita akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
"Malah, dalam pembentangan Belanjawan Kelantan 2025 baru-baru ini, kerajaan negeri juga telah memohon peruntukan sebanyak RM2 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk membina telaga tiub di kawasan pingiran termasuk di Rantau Panjang, sebagai tindakan jangka pendek sementara menunggu LRA berkenaan siap dibina," katanya.
-- BERNAMA