MELAKA, 24 Nov (Bernama) -- Dakwaan Ketua Pembangkang Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub bahawa kerajaan negeri tidak serius menangani isu banjir kilat berulang, adalah tidak berasas dan tidak disokong oleh fakta, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Datuk Rais Yasin.
Beliau berkata kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat sedang dan telah melaksanakan pelbagai langkah komprehensif untuk mengatasi masalah banjir kilat termasuk pembinaan tujuh Projek Tebatan Banjir (RTB) yang melibatkan peruntukan lebih RM1 bilion.
"Jika kita lihat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), saya telah berkali-kali menjawab soalan berkaitan isu banjir, termasuk perbelanjaan kerajaan negeri dan pusat bagi pengurusan hala tuju banjir di Melaka melalui pelaksanaan projek jangka panjang.
"Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM10 juta setahun kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kerja-kerja membaiki hakisan, menyelenggara longkang, dan memperbaiki sistem perparitan di bawah tanggungjawab jabatan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyerahan Kotak Bantuan Program Jelajah Peduli Ummah di DUN Paya Rumput di sini hari ini.
Rais yang juga ADUN Paya Rumput berkata keempat-empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka turut memperuntukkan jutaan ringgit setiap tahun bagi menyelesaikan isu banjir, khususnya di kawasan taman perumahan menerusi penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan.
Sebelum ini, Mohd Yadzil dalam kenyataan media menerusi Facebook mendakwa pengurusan banjir kilat di Melaka tidak efektif dan kerajaan negeri seolah-olah tiada perancangan pengurusan bencana yang kukuh, terutamanya pada musim tengkujuh.
-- BERNAMA